Anwar ‘tak tergesa-gesa’ rombak Kabinet

Anwar ‘tak tergesa-gesa’ rombak Kabinet

Perdana menteri berkata, perbincangan dengan pemimpin parti kerajaan perpaduan belum mula, walaupun keputusan muktamad di tangannya.

Rombakan Jemaah Menteri akan datang akan menjadi yang kedua buat Anwar Ibrahim sejak menjadi perdana menteri pada November 2022. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak tergesa-gesa untuk merombak Jemaah Menteri, dengan perbincangan bersama pemimpin penting dalam kerajaan perpaduan masih belum bermula.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan mengesahkan, beliau belum bertemu dengan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mahupun Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi berhubung perkara tersebut.

Katanya, beliau akan meluangkan masa untuk mendengar pandangan pemimpin-pemimpin parti sebelum membuat keputusan berhubung rombakan tersebut, walaupun keputusan muktamad terletak di tangannya.

“Saya sedang fikirkan. Saya tidak gopoh,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku baharunya, “Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times” di Pavilion Bukit Jalil hari ini.

“Saya perlu muhasabah selepas dengar (pandangan mereka), dan saya belum bincang dengan semua pemimpin parti lagi. Ini hak prerogatif saya, untuk buat keputusan, dan walaupun saya hargai pandangan mereka, saya yang perlu buat keputusan.”

Apabila ditanya sama ada beliau sudah mempunyai senarai nama yang dipertimbangkannya, presiden PKR itu hanya menjawab ringkas bahawa beliau sudah ada senarainya.

Rombakan Jemaah Menteri akan datang akan menjadi yang kedua buat Anwar Ibrahim sejak menjadi perdana menteri pada November 2022.

Pada masa ini, empat portfolio kosong, iaitu ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam; pelaburan, perdagangan dan industri; serta pembangunan usahawan dan koperasi.

MCA baru sekarang bersuara

Beliau turut mengulas gesaan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon agar perdana menteri melepaskan portfolio kewangan dan menggugurkan Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anwar berkata, beliau menyambut baik pandangan MCA itu tetapi menegaskan bahawa parti itu tidak pernah membangkitkan kedua-dua isu ini ketika menjadi sebahagian daripada pentadbiran terdahulu.

“Saya ucap terima kasihlah atas pandangan beliau, walaupun pandangannya baharu. Masa masih dalam kerajaan dulu, beliau tidak beritahu ada masalah (dengan perkara ini). Tetapi tak apa, itu pandangan beliau,” katanya.

Chong membuat gesaan itu pada perhimpunan agung Wanita MCA semalam, berkata ini dua reformasi utama yang akan memulihkan keyakinan terhadap agenda reformasi PH.

Katanya lagi, janji-janji ini mudah sahaja untuk dilaksanakan kerana tidak menelan belanja mahupun memerlukan proses yang panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.