Shamsul mengaku tak salah 4 tuduhan rasuah lebih RM176,000

Shamsul mengaku tak salah 4 tuduhan rasuah lebih RM176,000

Bekas setiausaha politik kanan perdana menteri itu didakwa bersetuju menerima rasuah daripada ahli perniagaan Albert Tei.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Shamsul Iskandar Akin tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
KUALA LUMPUR:
Bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.

Shamsul, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Suzana Hussin.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsul didakwa bersetuju menerima RM100,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada 24 Nov 2023.

Bagi pertuduhan kedua, Shamsul didakwa menerima perabot dan peralatan elektrik berjumlah RM14,580.03 daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 131, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur antara 7 Dis 2023 dan 31 Jan 2024.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima wang tunai RM40,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama seperti pertuduhan kedua pada 29 Jan 2024.

Menurut pertuduhan keempat, Shamsul didakwa menerima perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249 daripada Tei antara 26 Feb dan 5 Mac 2024 sebagai dorongan membantu syarikat Tei mempunyai kepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, berkata kesalahan di bawah Seksyen 17(a) tidak boleh diikat jamin atas tahap keseriusan kesalahan itu, tetapi mencadangkan jaminan RM300,000 jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkannya.

Peguam Amer Hamzah Arshad bagaimanapun berhujah, jumlah itu terlalu tinggi dan meminta mahkamah menetapkan jaminan tidak lebih RM50,000 atas alasan Shamsul memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan bertekad membersihkan namanya.

Pihak pembelaan turut meminta mahkamah mempertimbangkan keadaan kesihatan Shamsul yang menghidap tekanan darah tinggi sejak 2003 dan kencing manis sejak 2018.

Hakim membenarkan Shamsul diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin dan mengarahkan pasportnya dirampas sehingga kes selesai serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 8 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.