
Menurut kenyataan, keputusan akan dibuat “selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara”.
Jemaah Menteri kini mempunyai empat kekosongan iaitu portfolio ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam; pembangunan usahawan dan koperasi; dan pelaburan, perdagangan dan industri.
Portfolio ekonomi kini dipangku Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan; Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani memangku portfolio sumber asli dan kelestarian alam; manakala portfolio pembangunan usahawan dan koperasi digalas Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.
Dalam pada itu, perdana menteri menyambut baik pelantikan semula Saifuddin Nasution Ismail, Zambry Abdul Kadir dan Na’im Mokhtar sebagai Ahli Dewan Negara.
“Pelantikan ini membolehkan mereka meneruskan tugasan mustahak demi kesinambungan dasar, tatakelola dan agenda reformasi negara selaras dengan gagasan Malaysia Madani,” katanya.
Saifuddin memegang portfolio dalam negeri, Zambry dipertanggungjawabkan untuk pendidikan tinggi manakala Na’im adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama.