
Operasi awal dijalankan secara manual sebelum kemudahan itu beralih kepada operasi penuh secara berperingkat menjelang Feb tahun depan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melawat ke tapak projek itu, semalam, Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Rahimi Ismail dan Ketua Pegawai Operasi PIP Mohamad Ali Abdul Hussain.
Dalam lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin meninjau beberapa kawasan utama termasuk pintu masuk Thailand, kawasan pemeriksaan, rail siding, gudang peralatan, menara kawalan dan kawasan PIP R&R
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis Shabaruddin Ibrahim dalam sesi taklimat berkata PIP mempunyai kemudahan utama seperti jalan berikat, sambungan rel baharu dan terminal yang telah siap.
Menurutnya, perkembangan itu menyaksikan PIP kini mengambil alih fungsi Padang Besar Container Terminal (PBCT) yang sudah melebihi kapasiti.
PIP mampu mengendalikan sehingga 300,000 TEU setahun pada fasa pertama dan dijangka menjadi pemangkin ekonomi negeri melalui peningkatan aktiviti logistik, pengurangan kesesakan sempadan, serta pembukaan peluang pekerjaan baharu.
PIP juga disasar menjadi nod penting dalam rangkaian perdagangan ASEAN dan laluan Rel Pan-Asia, selain mengukuhkan hubungan logistik dengan China. Langkah ini dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor logistik, perkilangan dan perkhidmatan sokongan.
Bagaimanapun, pelaksanaan operasi penuh masih bergantung kepada penyempurnaan beberapa aspek teknikal, termasuk pensijilan sistem isyarat rel dan penyelarasan operasi rentas sempadan bersama Thailand.