
Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan lesen berdasarkan cadangan aktiviti yang dikemukakan.
“Bila ada permohonan lesen kita berikan lesen ikut apa mereka tuliskan dalam kertas cadangan. Untuk pembukaan spa kita benarkan.
“Apa yang berlaku kadang-kadang beri lesen, tetapi aktiviti dilakukan selepas itu adalah di luar kawalan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang minta penjelasan peranan agensi Wilayah Persekutuan dalam memantau lesen premis spa yang disalahgunakan untuk aktiviti songsang.
Isam merujuk kes 208 pengunjung terdiri 17 penjawat awam, remaja dan warga emas antara ditahan di sebuah gimnasium dan sauna dua tingkat dipercayai menjadi sarang aktiviti tidak bermoral di Chow Kit, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Azani Omar, sebelum ini berkata premis disyaki beroperasi setiap hari sejak lapan hingga 10 bulan lalu dipercayai dijadikan pusat golongan lelaki bertemu dan bertukar pasangan bagi melakukan perbuatan seksual songsang.
Katanya, setiap pengunjung dikenakan bayaran kemasukan RM35 dan tambahan RM10 bagi pendaftaran pelanggan kali pertama.
Sementara itu, Zaliha berkata bagi menangani masalah aktiviti songsang atau sosial, DBKL akan menjalankan pemantauan berkala terhadap premis berlesen.
Beliau berkata, penguatkuasaan juga akan segera dijalankan jika terdapat aduan.
“Bagi kes-kes luar normal di ibu negara, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan dikenali sebagai KL Strike Force.
“Jawatankuasa itu akan bertindak ikut aduan secara berkala. Penguatkuasaan akan melibatkan kerjasama DBKL dan agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis,” katanya.