
Dalam kenyataan, DBKL berkata hasil pemantauan di lapangan semalam mendapati terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki yang merupakan kawasan awam dan perlu sentiasa bebas halangan.
“Selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan kepada petugas DBKL.
“Sehubungan itu, DBKL telah mengambil tindakan menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan.
DBKL berkata, semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berhemah, dan berlandaskan undang-undang demi memastikan keselamatan awam, ketenteraman bandar serta kelancaran penggunaan ruang awam.
“DBKL tidak pernah menghalang aktiviti dakwah di ruang awam. Namun, semua aktiviti hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
“Dalam masa terdekat, pihak pengurusan DBKL akan mengadakan perjumpaan dengan pihak MRM bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Pemuda PAS membantah tindakan DBKL terhadap reruai Street Dakwah berkenaan yang didakwa beroperasi di lokasi itu selama 14 tahun secara aman.
Pengerusi Lajnah Dakwah & Pembelaan Islam Pemuda PAS, Mohamed Sukri Omar, mempersoalkan kewajaran tindakan menghantar 12 pegawai untuk menutup dan merampas bahan dakwah ketika hanya seorang sukarelawan berada di lokasi.
Beliau berkata, jika terdapat polisi baharu mewajibkan permit, perkara itu sepatutnya dimaklumkan secara jelas dan bertulis, bukan dilaksanakan secara mengejut dengan tindakan rampasan.