Penulis blog Wan Azri mengaku tak salah buat hantaran palsu

Penulis blog Wan Azri mengaku tak salah buat hantaran palsu

Bekas exco Pemuda Umno itu didakwa membuat hantaran palsu mengaitkan 11 Ahli Parlimen PKR didakwa akan menarik sokongan kepada perdana menteri, Mei lalu.

Peguam memohon jaminan rendah kerana Wan Muhammad Azri Wan Deris memberi kerjasama ketika siasatan dijalankan dan mengambil kira dia mempunyai enam anak, dengan seorang daripadanya menghidap autisme. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu mengaitkan 11 Ahli Parlimen PKR didakwa akan menarik sokongan kepada perdana menteri, Mei lalu.

Harian Metro melaporkan beliau membuat pengakuan itu di depan Hakim Ahmad Fuad Othman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Bekas exco Pemuda Umno itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi, iaitu akaun Facebook “Muhammad Azri” ketika membuat hantaran itu pada 7.32 malam 28 Mei lalu.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga boleh didenda RM5,000 setiap hari, jika kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hadni Khairuddin memohon ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain tarikh untuk serahan dokumen.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon jaminan rendah kerana anak guamnya memberi kerjasama ketika siasatan dijalankan dan mengambil kira dia mempunyai enam anak, dengan seorang daripadanya menghidap autisme.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM5,000 dan seorang penjamin, serta sebutan untuk serahan dokumen pada 7 Jan depan.

Rafique ketika ditemui di luar mahkamah berkata, tarikh perbicaraan kes itu ditetapkan 27 hingga 30 April depan dan pihaknya difahamkan pendakwaan akan memanggil beberapa Ahli Parlimen untuk memberi keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.