Isteri Albert Tei ugut semakan kehakiman terhadap SPRM

Isteri Albert Tei ugut semakan kehakiman terhadap SPRM

Lee Pei Rie memberi satu senarai permintaan untuk dipenuhi agensi antirasuah itu dalam tiga hari atau semakan kehakiman akan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Permintaan Lee Pei Rie terkandung dalam sepucuk surat yang dikeluarkan selepas SPRM menyerbu rumah Albert Tei Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Isteri ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mengugut akan memfailkan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika ia gagal memenuhi permintaannya dalam tempoh tiga hari.

Lee Pei Rie melalui peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal meminta SPRM menjelaskan sama ada beliau suspek atau saksi, dan jika dirinya sedang disiasat.

Wanita itu turut meminta SPRM mengeluarkan inventori penuh yang ditandatangani berhubung barang dirampas dari rumahnya serta pegawai terbabit dalam rampasan itu.

Katanya, SPRM perlu memulangkan segera barang yang tidak diperlukan untuk siasatannya.

Jika agensi antirasuah itu gagal memenuhi permintaannya, beliau akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk memohon perintah bagi mengeluarkan senarai rampasan serta pemulangan mandatori harta ditahan secara tidak sah dan pengisytiharan ketidakpatuhan undang-undang serta prosedur.

Menurutnya, beliau juga akan memfailkan aduan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung pelanggaran prosedur serta dakwaan salah laku pegawai.

Lee berkata, beliau akan mengambil tindakan sivil atau jenayah lanjut untuk melindungi hak serta keselamatannya.

Permintaannya terkandung dalam sepucuk surat yang dikeluarkan Rajesh dan Sachpreetraj kepada SPRM pada 30 Nov lalu, selepas agensi itu menyerbu rumah Tei di Puchong Jumaat lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.