Peguam Albert Tei nafi miliki ‘bukti penting’ dalam siasatan SPRM

Peguam Albert Tei nafi miliki ‘bukti penting’ dalam siasatan SPRM

Mahajoth Singh berkata dakwaan sedemikian cubaan mengelirukan orang ramai berhubung peranannya sebagai peguam.

Mahajoth Singh
Mahajoth Singh berkata beliau terikat kepada keistimewaan peguam-anak guam dan tidak boleh mendedahkan komunikasi atau bahan terlindung secara sah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peguam mewakili Albert Tei menafikan beliau memiliki “bukti penting” dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas ahli perniagaan kontroversi itu sambil menyifatkan dakwaan itu “palsu dan keterlaluan”.

Mahajoth Singh dalam kenyataan berkata, dakwaan itu cubaan untuk mengelirukan orang ramai berhubung peranannya sebagai peguam.

Katanya, dokumen disenaraikan dalam notis dikeluarkan kepadanya petang semalam dilindungi keistimewaan undang-undang dan tidak boleh didedahkan.

Menurutnya, satu daripada dua notis dikeluarkan SPRM memintanya hadir untuk disoal siasat hari ini, manakala satu lagi notis memintanya menyerahkan telefon bimbit Tei.

Tetapi, beliau menafikan memiliki telefon bimbit Tei dan menyifatkan dakwaan SPRM “tidak berasas”.

Mahajoth berkata, beliau terikat kepada keistimewaan peguam-anak guam dan tidak boleh mendedahkan komunikasi atau bahan terlindung secara sah.

“Tidak dapat difahami SPRM kelihatan tidak mampu atau tidak mahu memahami perlindungan undang-undang asas ini.

“Saya tidak akan takut atau dipaksa melanggar tugas suci saya sebagai peguam Tei, tanpa mengira akibatnya kepada saya.”

Tei dan Shamsul Iskandar Akin, bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim direman enam hari pada Sabtu lalu untuk membantu siasatan dakwaan rasuah.

Mereka ditahan Jumaat lalu selepas Tei mendakwa dia memberi rasuah kepada Shamsul untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada Adun Sabah.

Ahli perniagaan yang menjadi tumpuan skandal perlombongan di Sabah itu, sedang dibicarakan atas dua pertuduhan memberi rasuah.

Wanita bernama Sofia Rini Buyong, yang turut disiasat SPRM berhubung dakwaan Tei, ditahan malam Khamis lalu dan direman sehingga esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.