Hajiji dijangka angkat sumpah malam ini

Hajiji dijangka angkat sumpah malam ini

Keputusan tidak rasmi PRN menunjukkan GRS berada di landasan untuk membentuk kerajaan.

hajiji noor
GRS yang diketuai Pengerusi Hajiji Noor telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti gabungan sejak petang tadi. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Hajiji Noor dijangka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah malam ini, susulan keputusan tidak rasmi PRN Sabah ke-17 yang menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di landasan untuk membentuk kerajaan negeri.

Sumber dalaman GRS memaklumkan beberapa siri perbincangan kepimpinan telah berlangsung sejak petang tadi, termasuk rundingan dengan parti gabungan dan rakan strategik di peringkat persekutuan.

Difahamkan, Istana Seri Kinabalu dimaklumkan tentang perkembangan berkaitan pembentukan kerajaan baharu, dan persediaan awal telah dibuat bagi proses menghadap Yang di-Pertua Negeri, Musa Aman.

Setakat kiraan tidak rasmi malam tadi, GRS menguasai 30 kerusi DUN dan hanya memerlukan 7 lagi untuk membentuk kerajaan.

Dengan Pakatan Harapan (PH) dijangka mempunyai dua Adun dan disokong beberapa wakil rakyat bebas, yang sebelum ini mewakili GRS, Hajiji dijangka memperolehi majoriti mudah.

GRS ialah gabungan parti-parti tempatan merangkumi Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang dipimpin Hajiji, Parti Bersatu Sabah (PBS), Usno, Parti Cinta Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah.

Gabungan itu memimpin kerajaan negeri sebelum DUN ke-16 dibubarkan bulan lalu.

Selepas pilihan raya negeri 2020, Hajiji dilantik sebagai ketua menteri dengan sokongan Bersatu, Umno, PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Beliau kemudian mengetuai tindakan keluar Bersatu selepas pilihan raya umum 2022 apabila mereka mengambil alih PGRS dan menyokong kerajaan perpaduan.

Pada Januari 2023, Umno Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji dalam usaha menyingkirkannya sebagai ketua menteri. Namun beberapa Adun Umno terus menyokong beliau, menyebabkan mereka dikenakan tindakan disiplin parti termasuk digantung.

Hajiji kemudian membawa PH menyertai pentadbiran negeri, kerjasama yang akhirnya membawa kepada pakatan pilihan raya dalam pilihan raya negeri ke-17.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.