
Ketua Bersatu Perlis berusia 57 tahun itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau kira-kira 4 petang, lapor Bernama.
Beliau sebelum ini memegang jawatan exco pelancongan dan kebudayaan Perlis di bawah pentadbiran Shukri.
Pelantikan beliau dibuat ketika Perlis berdepan krisis politik, apabila lapan Adun Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mengemukakan akuan bersumpah kepada Raja Perlis bagi menarik balik sokongan terhadap Shukri, yang merupakan wakil PAS.
Tiga wakil rakyat PAS menandatangani SD terbabit iaitu Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji). Presiden PAS Hadi Awang memaklumkan keahlian mereka terhenti.
Selain Abu Bakar, Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Pada PRU15, PN memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis — sembilan milik PAS manakala lima milik Bersatu dan satu Pakatan Harapan (PH) menerusi PKR.
Bagaimanapun, Speaker DUN Perlis Rus’ele Eizan pada Khamis mengumumkan kekosongan luar jangka di DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga wakil rakyatnya terhenti keahlian PAS.
Perkembangan itu kini menyaksikan pengagihan semasa kerusi DUN Perlis berdasarkan parti kini ialah enam kerusi untuk PAS, lima untuk Bersatu, dan satu untuk Pakatan Harapan.
Selain Bersatu, Presiden PAS Hadi Awang juga mengesahkan partinya telah mengemukakan calon untuk dipertimbang sebagai calon menteri besar.