
Ewon yang juga menteri perindustrian, keusahawanan dan pengangkutan negeri berkata, beliau telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.
“Saya percaya pendekatan ini akan membawa manfaat besar kepada Sabah, sekali gus menjadikan negeri ini destinasi yang lebih menarik untuk pelaburan, perniagaan dan keusahawanan,” katanya, lapor The Borneo Post.
Langkah sedemikian juga dijangka dapat meningkatkan pendapatan pengusaha perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, kata Ahli Parlimen Penampang itu pada majlis anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Penampang (PCCCI).
Ewon berkata, beliau akan terus bekerjasama rapat dengan PCCCI dan organisasi lain mewakili usahawan, perniagaan dan industri bagi memacu agenda pembangunan ekonomi Sabah.
Beliau menggariskan keutamaan dasar kementeriannya, termasuk pelaksanaan Dasar ‘Sabah First’ yang menumpukan kepada usaha menambah baik peluang pendapatan buat rakyat Sabah menerusi pekerjaan dan pemilikan perniagaan.
Menurut Ewon, usaha memperkasakan rakyat Sabah dengan pendapatan yang mampan merupakan teras utama dalam pendekatan kepimpinannya.
Beliau berkata, pencapaian matlamat ini memerlukan ekosistem perindustrian dan keusahawanan yang lebih kukuh, persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, serta penambahbaikan dalam aspek prasarana dan logistik.
Ini termasuk menangani isu kesesakan pelabuhan, kekurangan taman perindustrian, serta kekangan kapasiti yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Tambahnya, pemain industri perlu terus meningkatkan kualiti serta piawaian produk dan perkhidmatan mereka agar dapat bersaing pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau turut menyeru agar kementeriannya, agensi-agensi di bawahnya, serta GLC bertindak lebih cekap dan responsif terhadap keperluan industri.