SMJ Energy ambil alih 20% kepentingan medan minyak North Sabah

SMJ Energy ambil alih 20% kepentingan medan minyak North Sabah

Ketua menteri sementara Hajiji Noor berkata langkah strategik melalui SMJ Energy tingkat penguasaan dan hasil minyak serta gas negeri.

Calon GRS, DUN Sulaman, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor
Hajiji Noor berkata pengambilalihan itu mencerminkan usaha jangka panjang Sabah untuk mempertahankan hak serta masa depan tenaganya.
PETALING JAYA:
Kerajaan Sabah mengukuhkan penglibatan negeri dalam industri minyak dan gas (O&G) menerusi pengambilalihan 20% kepentingan penyertaan bukan operasi dalam kontrak perkongsian pengeluaran pemulihan minyak dipertingkat (EOR PSC) North Sabah.

Dengan pegangan baharu itu, syarikat milik kerajaan negeri SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) kini mempunyai kepentingan dalam dua aset utama iaitu Samarang dan North Sabah, sekali gus membolehkan Sabah menghantar sehingga tujuh kargo minyak mentah setahun ke pasaran.

Ketua menteri sementara Hajiji Noor berkata pengambilalihan itu bukan sekadar melibatkan pegangan saham, malah mencerminkan usaha jangka panjang Sabah untuk mempertahankan hak serta masa depan tenaganya.

“Kita bukan hanya meningkatkan pemilikan, tetapi memastikan Sabah mempunyai kedudukan lebih kukuh dalam menentukan hala tuju hasil sumber minyak dan gas negeri,” katanya dalam kenyataan.

Hajiji berkata perkembangan positif itu juga tercetus menerusi kerjasama strategik kerajaan negeri dan Petronas menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dimeterai 7 Dis 2021.

Menurutnya, penglibatan yang lebih besar ini dijangka meningkatkan hasil negeri, selain mengukuhkan kedudukan Sabah dalam sektor huluan minyak dan gas negara.

“SMJE juga merancang menambah penyertaan ekuiti dalam lebih banyak sektor minyak dan gas di perairan Sabah selaras dengan CCA.

“Ini bagi memastikan negeri mendapat bahagian hasil yang lebih adil daripada aktiviti luar pesisir,” katanya.

EOR PSC North Sabah merangkumi empat medan minyak di perairan cetek berhampiran Kota Belud.

Selepas pengambilalihan dimuktamadkan, Petronas Carigali Sdn Bhd akan mengekalkan pegangan 30%, manakala SEA Hibiscus Sdn Bhd kekal sebagai operator dengan pegangan 50%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.