Kesinambungan jadi taruhan utama GRS di Sabah, kata penganalisis

Kesinambungan jadi taruhan utama GRS di Sabah, kata penganalisis

Sivamurugan Pandian daripada USM berkata, gabungan itu juga dijangka tumpu usaha pastikan tuntutan MA63 dipenuhi.

Hajiji Noor jelajah grs dun kiulu
Syaza Shukri berkata, memandangkan GRS peroleh majoriti tipis, kerajaan pimpinan Hajiji Noor akan sangat bergantung pada rundingan dan pencapaian kata sepakat.
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka memperkukuh agenda kestabilan dan tadbir urus berteraskan negeri, susulan isyarat jelas diberikan pengundi memilih kesinambungan dan kawalan tempatan berbanding pengaruh persekutuan, menurut penganalisis.

Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, keputusan pilihan raya menunjukkan bahawa GRS akan mengukuhkan kedudukannya menerusi tadbir urus yang mantap dan kepimpinan berasaskan penyampaian.

“GRS juga dijangka memberi tumpuan untuk mempercepat projek infrastruktur dan ekonomi, serta memastikan pemenuhan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya kepada FMT.

Sivamurugan berkata, Ketua Menteri Hajiji Noor juga perlu melihat melangkaui matlamat pentadbiran semasa demi menjamin kelangsungan jangka panjang parti melalui pelan peralihan kuasa yang berwibawa.

GRS menang 29 daripada 73 kerusi pada PRN Sabah Sabtu lepas, mengatasi Warisan yang memperoleh 25 kerusi.

Kemenangan itu membolehkan Hajiji membentuk kerajaan negeri baharu dengan sokongan wakil rakyat bebas dan sekutu bagi membentuk majoriti di DUN.

Tadbir urus menerusi rundingan

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, memandangkan gabungan itu memperoleh majoriti tipis, kerajaan pimpinan Hajiji akan sangat bergantung pada rundingan dan pencapaian kata sepakat.

“Oleh kerana gagal memperoleh majoriti mudah, beliau perlu menjadi pemimpin yang lebih bertolak ansur di peringkat tempatan, serta berunding dengan rakan sekutu GRS yang lain.

“Beliau tidak boleh mengamalkan kepimpinan secara ‘top-down’. Beliau juga akan bergantung kepada dana pembangunan kerajaan persekutuan untuk Sabah bagi memuaskan hati semua pihak,” katanya kepada FMT.

Syaza menambah, sentimen ‘Sabah untuk orang Sabah’ akan kekal, namun dalam bentuk yang kurang agresif.

“Hajiji akan memastikan kerajaan persekutuan menunaikan janji mereka berhubung isu autonomi, sebagai langkah untuk mengekalkan keutuhan gabungan,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, hubungan Sabah dengan Putrajaya akan bersifat kerjasama, pada masa sama bersifat transaksi.

“GRS akan mendesak pelaksanaan MA63, dana pembangunan yang besar serta jaminan kestabilan politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.