
Hakim Wong Kian Kheong berkata, Baiduri Heights Development Sdn Bhd, pemaju CHOGM Villa, bukan pemilik sah kemudahan itu di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 (STA) dan kelulusan yang diberikan Majlis Perbandaran Langkawi.
Menyampaikan alasan penghakiman, Wong menjelaskan Seksyen 4 STA mentakrifkan “harta bersama” sebagai mana-mana tanah atau ruang dalam bangunan atau kawasan pembangunan yang tercatat dalam pelan strata diluluskan.
“Hakim Mahkamah Tinggi tidak silap dari segi undang-undang atau fakta apabila memutuskan kolam renang dan rumah kelab merupakan ‘harta bersama’ kawasan pembangunan.”
Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara mengesahkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan balas badan pengurusan.
Dalam tuntutan balasnya, badan pengurusan menyaman 11 pihak termasuk pemaju, anak syarikat pengurusan hartanahnya, pentadbir tanah Langkawi, pengarah tanah dan galian Kedah serta kerajaan negeri.
Wong mendapati pelan susun atur yang diluluskan menetapkan kolam renang dan rumah kelab, bersama kemudahan lain sebahagian daripada “kemudahan” pembangunan itu.
Panel hakim yang turut dianggotai Hakim Azimah Omar dan Ismail Brahim turut menolak rayuan pemaju untuk mengetepikan saman utama yang difailkan terhadap badan pengurusan, pentadbir tanah, pengarah tanah dan galian serta kerajaan negeri.
Wong berkata, badan pengurusan mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengemukakan tuntutan balas dan tidak terhalang oleh masa di bawah STA, Akta Had Masa 1953 atau Seksyen 2(a) Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.
Beliau berkata, kes itu membabitkan “kecederaan atau kerosakan berterusan” yang dialami badan pengurusan akibat tindakan dan kelalaian pentadbir tanah serta pengarah tanah dan galian berhubung kolam renang dan rumah kelab.
Katanya, hakim Mahkamah Tinggi betul dalam mendapati pentadbir tanah serta pengarah tanah dan galian bertanggungjawab atas salah laku dalam jawatan awam kerana mengeluarkan dua hak milik strata tambahan bagi dua ruang itu.
“Akibatnya, kerajaan Kedah bertanggungjawab secara tidak langsung kepada badan pengurusan atas tort yang dilakukan pentadbir tanah serta pengarah tanah dan galian.”
Wong berkata, Mahkamah Tinggi juga betul dalam memutuskan pemaju dan syarikat pengurusan hartanah melakukan tort penukaran, penipuan, pecah amanah serta pengayaan tidak adil.
Panel itu memerintahkan pemaju dan tiga individu membayar kos RM85,000 kepada badan pengurusan.
CHOGM Villa – sebuah pembangunan atas Lot 421 yang terdiri daripada 208 rumah bandar, rumah kelab dan kolam renang – memperoleh sijil layak menduduki pada 1998.
Pemaju mengutip RM9,000 sebulan daripada yuran penyelenggaraan untuk sewaan rumah kelab dan kolam renang.
Dalam mesyuarat agung tahunan pertama pada 24 Nov 2013, badan pengurusan mendapati pemaju menuntut rumah kelab dan kolam renang sebagai harta persendirian mereka.
Badan pengurusan juga mendapati pemaju mengutip sejumlah RM1.6 juta sebagai sewaan penggunaan rumah kelab dan kolam renang.
Ia turut mendapati 210 hak milik strata dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, walaupun pembangunan itu hanya terdiri daripada 208 unit rumah bandar.
Lot 421 didaftarkan atas nama badan pengurusan. Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi berpendapat rumah kelab dan kolam renang sebahagian daripada harta bersama dan bukan milik pemaju.
Pada 2014, pemaju memfailkan saman untuk memindahkan hak milik rumah kelab dan kolam renang kepada namanya.
Badan pengurusan turut memfailkan tuntutan balas mendakwa rumah kelab dan kolam renang ialah harta bersama dan hanya 208 rumah bandar diluluskan berdasarkan kebenaran merancang, pelan bangunan dan sijil layak menduduki.
Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepada badan pengurusan, yang membawa kepada rayuan ini.
Peguam Karin Lim, M Murgan dan Clifford Ong mewakili badan pengurusan, manakala Lily Chua serta Farah Farhana Effendy Onn mewakili pemaju.
Nor Hayati Ibrahim mewakili pentadbir tanah dan kerajaan negeri, manakala Rozman Azwan Osman mewakili Majlis Perbandaran Langkawi.