
Bekas pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman, sokong cadangan memberikan SPR kuasa mengemas kini alamat mengundi pengundi selaras alamat pada MyKad, namun langkah tersebut tidak akan berkesan selagi masalah utama — iaitu ketidaktepatan alamat — tidak diselesaikan.

Pandangan Rashid ini menyahut masalah dibangkitkan Ahli Suruhanjaya SPR, Zoe Randhawa, berhubung rekod pengundi tidak dikemas kini, seperti kes yang mana individu masih berdaftar di blok kediaman yang dirobohkan beberapa dekad lalu, sekali gus menjejaskan gambaran sebenar kawasan pilihan raya.
“Undang-undang itu ada tetapi ia tidak dilaksanakan. Itu yang perlu ditanya kepada Jabatan Pendaftaran Negara. Kerajaan perlu ambil berat hal ini kerana ia menjejaskan keadaan politik dan pilihan raya. Kuatkuasakan semula Peraturan 15,” katanya kepada FMT.
Rashid merujuk kepada Peraturan 15 dalam Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara, bahawa setiap orang yang memiliki kad pengenalan dan bertukar tempat kediaman ke suatu tempat yang seseorang itu akan tinggal selama tempoh 90 hari atau lebih hendaklah membuat gantian penukaran alamat pada kad pengenalan.
Rashid menerangkan bahawa penguatkuasaan Peraturan 15 akan menyelesaikan beberapa masalah serentak, seperti pengundi terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk menunaikan tanggungjawab.
Ia juga akan memudahkan urusan pengundi, sekaligus meningkatkan peratusan keluar mengundi.
“Misalnya, mereka yang dari Kelantan telah tinggal dan bekerja di Selangor bertahun-tahun lamanya, tetapi alamat dalam MyKad mereka masih di Kelantan. Apabila pilihan raya tiba, mereka terpaksa pulang ke Kelantan untuk mengundi,” katanya.
Bagi memperkukuh sistem pengundian berasaskan kediaman, SPR pada 20 Nov mencadangkan pembaharuan struktur yang akan memberinya kuasa mengemas kini alamat mengundi pengundi selaras tertera pada MyKad.
Randhawa menyentuh konsep memastikan seseorang mengundi di tempat mereka tinggal, dan bukan berdasarkan tempat lahir atau asal usul, seperti termaktub dalam Perkara 119 Perlembagaan.
Katanya, batasan undang-undang sedia ada menyebabkan rekod pengundi tidak dikemas kini, lalu menimbulkan pelbagai kesan susulan terhadap cara Ahli Parlimen dipilih.
Rashid menegaskan penyelesaian kepada masalah ini sudah wujud dalam undang-undang sedia ada.