Anggota polis ditahan kes penunggang motosikal maut kena langgar

Anggota polis ditahan kes penunggang motosikal maut kena langgar

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop berkata kemalangan tersebut turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal parah.

pikap polis rempuh motor
Tangkap layar video tular menunjukkan keadaan motosikal mangsa yang dipercayai dilanggar sebuah trak polis di Jalan Persiaran Wawasan di Kangar, Perlis malam tadi.
PETALING JAYA:
Seorang anggota polis ditahan selepas kenderaan peronda yang dipandunya melanggar dua motosikal hingga menyebabkan seorang mangsa maut dan seorang parah di Jalan Persiaran Wawasan di Kangar, Perlis.

Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira 10.20 malam tadi, ketika trak dipandu anggota polis berkenaan sedang melakukan tugas rondaan sebelum bertembung dengan dua motosikal dari arah bertentangan, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu pikap terbabit.

“Penunggang motosikal berusia 24 maut manakala seorang lagi penunggang berusia 25 tahun cedera.

“Susulan kejadian itu, anggota berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tampil memberikan maklumat.

Yusharifuddin juga menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Terdahulu, tular beberapa video di media sosial menunjukkan motosikal dan mangsa kemalangan itu terbaring di jalan raya selepas dilanggar kenderaan polis berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.