
Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin, berkata kejadian pada 5.20 petang itu menjejaskan kelas Tahun Satu melibatkan dua kelas dengan 70 murid; Tahun Dua (dua kelas, 74 murid); prasekolah (satu kelas, 25 murid), dan lima kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan 38 murid.
“JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) telah memaklumkan kepada penjaga murid dan semua langkah segera sedang diambil supaya kerja baik pulih dapat dijalankan secepat mungkin. Kami juga telah memohon bantuan dana daripada Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya kepada pemberita.
Rose Aza berkata, pihak sekolah turut diminta memastikan pembelajaran murid terus dipantau dari semasa ke semasa sepanjang tempoh PdPR itu berlangsung agar mereka tidak ketinggalan.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook malam ini memaklumkan sudah meminta JPN Perlis menyediakan laporan penuh kerosakan dan peruntukan bencana akan disalurkan supaya kerja baik pulih segera dilaksanakan.
“Syukur tiada murid, guru dan warga sekolah yang terjejas dalam kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan kejadian tersebut dan turut memaklumkan sebuah kereta rosak ditimpa bahagian bumbung sekolah yang diterbangkan angin.