PRN Sabah: Undi awal mula 8 pagi

PRN Sabah: Undi awal mula 8 pagi

Seramai 24,426 pengundi awal akan memilih di 58 pusat di seluruh negeri.

Seramai 11,697 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala 12,729 lagi merupakan anggota polis serta pasangan.
KOTA KINABALU:
Seramai 24,426 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab hari ini bagi memilih wakil rakyat sempena PRN Sabah ke-17.

Daripada jumlah tersebut, seramai 11,697 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala 12,729 lagi merupakan anggota polis serta pasangan.

Sebanyak 58 pusat pengundian awal akan dibuka serentak di seluruh negeri bermula tepat 8 pagi ini sebelum ditutup secara berperingkat.

Antara lokasi pusat mengundi awal ialah IPK Sabah, IPD, serta kem tentera di seluruh negeri.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di beberapa tempat di seluruh negeri sepanjang hari ini.

Selepas selesai pengundian awal, semua kertas undi tidak akan dikira serta-merta, sebaliknya proses pengiraan akan dilaksanakan semasa hari pengundian pada 29 Nov.

Dengan selesainya proses pengundian awal hari ini, tumpuan kini beralih pada hari pengundian yang dijadualkan pada Sabtu.

PRN kali ini menyaksikan 596 calon bertanding merebut 73 DUN dengan 74 daripadanya calon bertanding Bebas.

Tempoh berkempen bagi PRN Sabah ke-17 yang bermula dari 15 Nov akan berakhir pada 11.59 malam, 28 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.