Mangsa banjir di 5 negeri meningkat

Mangsa banjir di 5 negeri meningkat

Kelantan, Perak, Selangor, Kedah dan Perlis menyaksikan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di PPS.

banjir kl
Situasi banjir di Kelantan, Perak, Selangor, Kedah dan Perlis dilaporkan buruk, malam tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Situasi banjir di beberapa negeri semakin buruk malam tadi, menyaksikan peningkatan jumlah mangsa di Kelantan, Perak, Selangor, Kedah dan Perlis.

Di Kelantan, mangsa banjir meningkat kepada 9,882 daripada 3,608 keluarga malam tadi berbanding 9,634 pada petang tadi.

Sebanyak 40 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat jajahan, iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh, menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Laman Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air sungai utama di Kelantan menunjukkan peningkatan di dua lokasi, yang melepasi paras waspada setakat 7.45 malam.

Sungai Melor di Bachok merekodkan paras air 7.68m, melepasi tahap waspada 7m dengan trend paras air dilaporkan menaik.

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada 7.81m, iaitu 0.81m melepasi paras waspada.

Di Perlis, jumlah mangsa banjir merekodkan peningkatan kepada 2,017 orang daripada 594 keluarga setakat malam tadi, berbanding 1,497 orang pada petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Izaimi Daud, berkata semua mereka yang terjejas melibatkan penduduk di kawasan Kangar, Arau dan Padang Besar yang ditempatkan di sembilan PPS.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,732 orang setakat 8.30 malam membabitkan 474 keluarga berbanding 327 orang sebelum ini.

Sebanyak 15 PPS dibuka berbanding lapan pada 3.30 petang tadi.

InfoBencana JKM memaklumkan PPS terbaharu yang dibuka adalah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding, Kompleks Penghulu Batu 10 dan Balai Raya Kampung Melaka, Batu 9, di daerah Hulu Langat; serta SK Shah Alam, Seksyen 16, dan SK Desa Aman di Kuala Selangor.

Laman Public Infobanjir memaklumkan lapan sungai telah melebihi tahap bahaya antaranya Sungai Langat, Batu 12 di Hulu Langat pada paras 42.4m; Sungai Langat di Jenderam Hilir (11.55m); Sungai Bernam, di Hulu Selangor (20.29 m); dan Sungai Binjai, di Meru (4.64 m).

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,786 orang daripada 554 keluarga pada malam tadi berbanding 1,415 orang petang tadi.

Mereka ditempatkan di 20 PPS di daerah Manjung, Perak Tengah, Larut, Matang dan Selama serta Hilir Perak.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Manjung merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir apabila 996 orang daripada 294 keluarga ditempatkan di 12 PPS.

Seramai 643 orang daripada 219 keluarga berlindung di enam PPS di daerah Perak Tengah.

PPS Sekolah Batu Hampar di daerah Larut, Matang dan Selama pula dihuni 38 mangsa daripada 11 keluarga.

Seramai 109 orang daripada 30 keluarga ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap di daerah Hilir Perak.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 1,088 orang daripada 344 keluarga melibatkan mangsa dari daerah Kulim dan Kubang Pasu.

Mereka ditempatkan di sembilan PPS setakat 8 malam tadi.

Laman Public Infobanjir memaklumkan empat sungai di Kedah melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Laka di Kubang Pasu (23.47m); Sungai Sintok di Kubang Pasu (44.59 m); Sungai Titi Kerbau di Pendang (4.14 m); dan Sungai Sari di Padang Terap (28.82 m).

Tiga sungai pula berada pada tahap amaran, iaitu Sungai Perik di Padang Terap (13.92m); Sungai Melaka di Langkawi (3.39 m); dan Sungai Bata di Kubang Pasu (8.93 m).

Jumlah mangsa banjir di Terengganu berkurang kepada 129 orang daripada 53 keluarga setakat 8 malam tadi, berbanding 205 orang daripada 76 keluarga pada 3 petang.

Semua mangsa berlindung di PPS SK Kuala Besut, Besut sejak pagi semalam.

Di Pulau Pinang, jumlah mangsa banjir di empat PPS menurun sedikit malam tadi kepada 385 orang melibatkan 103 keluarga berbanding 404 mangsa daripada 104 keluarga, petang tadi.

Berdasarkan laman lnfobencana JKM setakat 7.17 malam, PPS SK Lahar Yooi di daerah Seberang Perai Utara (SPU) merekodkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 172 orang daripada 49 keluarga.

Seramai 107 mangsa daripada 28 keluarga berada di PPS Desa Puri, 56 orang daripada 15 keluarga di PPS SK Pengkalan Jaya manakala PPS di daerah Seberang Perai Tengah iaitu SK Permatang Pasir kekal dengan 50 mangsa daripada 11 keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.