Kastam Kedah rampas vape hampir RM13 juta

Kastam Kedah rampas vape hampir RM13 juta

Seorang lelaki yang juga penjaga gudang itu berusia 40-an ditahan untuk membantu siasatan.

Pengarah Kastam Kedah Wan Marini Wan Hamzah menunjukkan peranti serta cecair vape yang dirampas dari sebuahgudang di Kawasan Industri Padang Besar, Perlis Oktober lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 719,250 unit peranti serta cecair vape bernilai hampir RM13 juta dengan anggaran duti dan cukai lebih RM3 juta dirampas dari sebuah gudang di Kawasan Industri Padang Besar, Perlis.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah, berkata bertindak atas maklumat risikan, Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam melakukan serbuan pada 3 petang 13 Okt lalu.

Katanya, pihak terbabit gagal mengemukakan permit import sah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) (Program Perkhidmatan Farmasi) bagi 211,050 peranti dan 508,200 cecair vape pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti serta cukai dianggarkan RM16 juta.

“Cecair vape barang kawalan import tertakluk di bawah Bahagian I, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan kelulusan KKM sebelum boleh dibawa masuk ke dalam negara,” katanya menurut Harian Metro di Pejabat Kastam Kedah di Alor Setar.

Beliau berkata, ini rampasan terbesar Kastam Kedah sepanjang tiga tahun ini dan vape dipercayai dari China itu mungkin menggunakan laluan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dipindahkan ke gudang di Perlis.

“Kita masih dalam siasatan untuk tentukan pemilik gudang serta individu tertentu yang terbabit,” katanya sambil menambah pihaknya percaya vape itu untuk pasaran Malaysia, tetapi tidak menolak berkemungkinan akan diseludup ke negara lain.

Menurutnya, seorang lelaki yang juga penjaga gudang itu berusia 40-an ditahan untuk membantu siasatan.

Jelasnya, sindiket itu mengikrarkan kuantiti sedikit, sedangkan hakikatnya ia membabitkan jumlah yang banyak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (g) Akta Kastam 1967 kerana disyaki mengelak pembayaran duti dan cukai secara fraud serta melanggar peraturan larangan import.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.