334 maut banjir di Sri Lanka

334 maut banjir di Sri Lanka

Seramai 370 orang dilaporkan hilang akibat banjir dan tanah runtuh sejak pulau itu dilanda cuaca buruk 17 Nov lalu.

Seorang wanita mendukung anaknya meredah banjir selepas hujan lebat melanda Wellampitiya, kawasan pinggir bandar Colombo pada Ahad. (Gambar AFP)
ISTANBUL:
Angka korban banjir di Sri Lanka meningkat kepada 334 orang, manakala 370 lagi dilaporkan hilang, menurut Pusat Pengurusan Bencana negara itu pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan di beberapa kawasan terjejas akibat banjir, tanah runtuh serta kemusnahan meluas sejak pulau itu dilanda cuaca buruk 17 Nov lalu, lapor Newswire.

Sejak Siklon Ditwah melanda Sri Lanka Rabu lalu, kira-kira 1.12 juta orang daripada 309,607 keluarga terjejas di seluruh negara.

Menurut News 1st, sebanyak 1,275 pusat bantuan beroperasi dan menyediakan perlindungan kepada 180,499 penduduk terpaksa berpindah akibat bencana itu.

Pasukan tentera sedang melaksanakan operasi udara dan darat untuk memindahkan mangsa terperangkap, manakala pasukan bantuan bekerja pantas menyalurkan makanan, air serta bekalan perubatan.

Menurut Daily Mirror, sebuah helikopter Tentera Udara Sri Lanka terhempas ketika menjalankan operasi bantuan bencana pada Ahad, namun semua kru berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital.

Portal berita Ada Derana melaporkan semua universiti, institusi pengajian tinggi dan pusat latihan vokasional di bawah Kementerian Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pendidikan Vokasional akan menghentikan aktiviti akademik sehingga 8 Dis ini.

Sabtu lalu, Presiden Anura Kumara Dissanayake mengisytiharkan darurat bagi negara Asia Selatan itu susulan kerosakan meluas akibat Siklon Ditwah, menurut Daily Mirror.

Kerajaan turut menggalakkan rakyat Sri Lanka di luar negara dan warga asing menyumbang kepada usaha membantu mangsa terjejas.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir berisiko tinggi untuk beberapa sungai utama dan menasihatkan penduduk di kawasan hilir sungai berpindah segera.

Dissanayake turut mengarahkan lebih 20,000 anggota tentera dikerah bagi operasi menyelamat, lapor Daily Mirror.

Pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan amaran merah tanah runtuh bagi lapan daerah berisiko tinggi.

Menurut All India Radio, Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran merah untuk kawasan tenggara India, termasuk utara Tamil Nadu, Puducherry dan pesisir pantai selatan Andhra Pradesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.