
Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa yang membabitkan 4,518 keluarga itu masih berlindung di 171 PPS di semua negeri terjejas, menurut Berita Harian.
Setakat ini, Perak merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,626 mangsa membabitkan 1,412 keluarga, diikuti Perlis (3,050), Selangor (2,711), Terengganu (1,774), Kelantan (898) dan Pahang (601)
Manakala di Kedah pula seramai 303 orang daripada 90 keluarga ditempatkan di 14 PPS dan Negeri Sembilan pula merekodkan 77 mangsa daripada 45 keluarga.
Menurut JKM, seramai 2,101 mangsa terdiri daripada warga emas dan 4,745 pula ialah kanak-kanak termasuk 375 bayi. Mangsa Orang Kurang Upaya (OKU) pula seramai 499 orang.
Sementara itu, menurut Public Infobanjir, beberapa sungai dan empangan tidak menunjukkan trend perubahan dengan ada antaranya dikesan berada pada trend menaik dan paras air masih melepasi tahap bahaya setakat 7 pagi tadi.
Ia membabitkan Empangan Timah Tasoh (Perlis), Sungai Slim di Slim River dan Sungai Bidor di Changkat Jong (Perak), Pintu Air Ijok (Selangor), Cheng U/S dan Sungai Siput di Kampung Sungai Siput (Melaka), Sungai Paka di Kampung Luit (Terengganu), Sungai Golok di Rantau Panjang (Kelantan).
Aras air di enam negeri iaitu Perlis, Perak, Selangor, Melaka, Pahang dan Terengganu pula berada di tahap bahaya manakala Johor, Kelantan serta Sarawak di paras amaran.