
Fahmi berkata, sedia mempertahankan tindakannya itu dan akan melawan sebarang usaha menyekat kebebasan untuk bersuara.
“Kepada kerajaan yang masih tak habis-habis nak siasat aku sebab lukisan karikatur satira Musa, sila dakwa aku di mahkamah kalau berani.
“Aku sedia pertahankan lukisan karikatur itu dan akan lawan apa-apa percubaan untuk sekat kebebasan aku untuk bersuara dan berekspresi,” katanya di di Facebook.
Semalam, Fahmi berkata ini kali pertama dia dipanggil polis untuk siasatan berhubung siri ‘Kelas Demokrasi’ yang membincangkan sistem pemerintahan berperlembagaan Malaysia dan proses pilihan raya yang disiarkan secara langsung di TikTok miliknya.
Katanya, dia menerima satu notis daripada polis tengah hari semalam yang mengarahkannya hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, dia diarahkan hadir hari ini untuk disoal siasat berhubung video ‘Kelas Demokrasi’ bertajuk ‘Bolehkah TYT Musa Aman dipecat?’ yang dimuat naik di Facebook tiga hari lalu.
Dalam pada itu, Fahmi berkata dia selesai memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman dan mendedahkan ditanya sebanyak 45 soalan.
Katanya, kebanyakan soalan berkaitan video ‘Bolehkah TYT Musa Aman dipecat?’ yang dimuat naik di Facebooknya.