
Baginda bertitah usaha itu dapat dicapai melalui perancangan strategik yang tuntas, peningkatan keupayaan rakyat, serta pembentukan mentaliti yang lebih progresif dan berdikari.
Titah baginda, inisiatif yang dilaksanakan pada masa ini tidak lagi memadai untuk memacu Perlis ke hadapan.
“Perancangan yang sistematik amat penting, termasuk penetapan sasaran hasil yang realistik dan boleh dicapai oleh setiap jabatan.
“Perlis tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat, sebaliknya perlu membangunkan kapasiti penjanaan pendapatan sendiri agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara mampan,” titah baginda di Majlis Reunion Program Eksesais Kerajaan Perlis ke Sabah (Eks Perbah) di Kangar.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin, negeri itu perlu digerakkan ke tahap seterusnya menerusi pendekatan komprehensif yang melibatkan semua lapisan daripada barisan kepimpinan hinggalah masyarakat di peringkat akar umbi.
Baginda turut menzahirkan teguran terhadap mentaliti kebergantungan kepada bantuan walaupun ramai sebenarnya berupaya berdikari.
Sikap sedemikian, tegas baginda, menjadi penghalang kepada kemajuan rakyat dan mesti ditinggalkan demi kepentingan bersama.
Dalam pada itu, baginda menekankan bahawa pengurusan data yang tepat, lengkap dan menyeluruh merupakan komponen penting dalam memastikan keberkesanan perancangan dan pelaksanaan dasar.
“Kekurangan kepakaran dalam pengumpulan serta analisis data dikenal pasti sebagai kekangan utama yang perlu ditangani segera bagi memastikan keputusan yang dibuat bersandarkan maklumat sahih, bukan sekadar anggaran atau andaian,” titah baginda.
Majlis ini dianjurkan khusus bagi memaklumkan perkembangan status dan perancangan tindakan susulan berhubung isu-isu yang telah dibincangkan semasa sesi percambahan minda Eks Perbah sebelum ini.
Pembentangan tindakan isu serta cadangan percambahan minda telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Noriman Rojulai; Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), Lasahi Laiji, dan Pensyarah Puspahanas, Wan Edenin Wan Mahsin.
Perkongsian tersebut berperanan sebagai platform untuk merangka strategi penyelesaian terhadap cabaran semasa, menggalakkan pertukaran idea antara peserta, serta memastikan setiap cadangan yang dibawakan dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit demi memperkukuh keberkesanan program Eks Perbah pada masa hadapan.