Hamzah kekal ketua pembangkang, kata Muhyiddin

Hamzah kekal ketua pembangkang, kata Muhyiddin

Sebelum ini tersebar surat tular, konon mendesak Hamzah Zainudin digantikan dengan Radzi Jidin sebagai ketua pembangkang.

muhyiddin hamzah
Muhyiddin Yassin tolak spekulasi Hamzah Zainudin akan digantikan sebagai ketua pembangkang.
TUARAN:
Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin kekal sebagai ketua pembangkang, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, menolak khabar angin Ahli Parlimen Larut itu akan digantikan dengan Radzi Jidin.

Beliau berkata barisan kepimpinan parti kekal seperti sedia ada dan semua keputusan telah pun dimuktamadkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi bagi memastikan fokus parti tidak terganggu menjelang PRU16.

“Tak ada apa-apa. Tak ada tukar. Kekal seperti mana yang ada sekarang,” katanya ditemui selepas berkempen di Pantai Dalit.

Selasa lalu, berlaku pertemuan 18 Ahli Parlimen Bersatu dengan Muhyiddin, perkembangan menyusul dua minggu selepas 19 Ahli Parlimennya menghantar surat bantahan tindakan disiplin dikenakan terhadap Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dipecat daripada parti oleh Lembaga Disiplin Bersatu manakala Wan Fayhsal, Ahli Parlimen Machang digantung. Kedua-duanya memfailkan rayuan.

Pertemuan itu juga berlangsung di sebalik penyebaran surat tular, konon mendesak Hamzah digantikan dengan Radzi sebagai ketua pembangkang.

Muhyiddin menambah hubungan dalam kepimpinan tertinggi Bersatu juga berada dalam keadaan baik dan semua pemimpin memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan sedia ada.

“Semua berjalan dengan baik. Mereka semua beri sokongan padu… supaya tidak ada isu-isu yang berterusan. Kita mahu Bersatu dan PN kuat menghadapi PRU16,” katanya.

Ditanya mengenai momentum kempen PN di Sabah, Muhyiddin berkata pengundi memberikan respon positif setakat ini dengan kehadiran ramai dalam siri pertemuan calon.

“Di mana-mana calon kita bertanding, ramai yang datang. Ada minat dan respons itu berlaku secara semula jadi… ada tarikan, kita nampak itu bukan dibuat-buat,” katanya sambil berharap sokongan tersebut diterjemahkan dalam bentuk undi pada 29 Nov.

Mengulas soal calon ketua menteri PN, Muhyiddin berkata pengumuman akan dibuat apabila masa sesuai.

“Ketua menteri… nanti kita akan umumkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.