Akta Pemajuan Harta Tanah dibentang di Parlimen Jun tahun depan, kata Nga

Akta Pemajuan Harta Tanah dibentang di Parlimen Jun tahun depan, kata Nga

Menteri Nga Kor Ming berkata Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) akan menyediakan kerangka kawal selia untuk melindungi pembeli.

perumahan baru
Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) akan menggantikan Akta Pemajuan Perumahan 1966.
PUTRAJAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka membentangkan Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) di Dewan Rakyat pada Jun tahun depan.

Menterinya Nga Kor Ming berkata RPDA akan menjadi pengganti komprehensif Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi memperkukuh pengawalseliaan dan memastikan perlindungan lebih kukuh kepada pembeli rumah.

“Selepas mendapat kelulusan jemaah menteri, kita jangka akta ini akan dibentangkan pada Jun atau selewatnya hujung tahun depan,” katanya selepas merasmikan Majlis Reformasi Perumahan Madani.

Menurut Nga, RPDA membawa dua objektif utama iaitu memperluas skop kawal selia supaya tidak lagi terhad kepada projek kediaman, serta memasukkan pembangunan komersial bagi memastikan ekosistem pembangunan lebih seragam dan bertanggungjawab.

Beliau berkata akta baharu itu turut menyesuaikan peruntukan undang-undang dengan keperluan pasaran semasa, termasuk pengiktirafan model pembangunan moden seperti skim pajakan, sewa untuk beli dan projek campuran residen-pejabat.

Antara cadangan utama RPDA ialah meningkatkan penalti kesalahan serius, mengetatkan syarat pra-pelesenan termasuk keupayaan kewangan pemaju, dan memperkukuh perlindungan hak pembeli merangkumi bayaran, standard kualiti dan obligasi penyenggaraan.

“RPDA juga akan meliputi seluruh kitaran projek, dari pra-perancangan hingga siap dibina.

“Ini termasuk kuasa audit teknikal dan penyiasatan yang lebih jelas untuk mengesan risiko projek sakit lebih awal, serta mekanisme intervensi yang lebih tersusun bagi projek berisiko,” katanya.

Nga menegaskan RPDA akan memastikan setiap projek kediaman berada dalam ekosistem yang lebih teratur, telus dan berdaya tahan, selaras aspirasi Malaysia Madani.

Beliau turut menggesa semua pemaju meningkatkan pematuhan demi membina industri perumahan yang stabil dan berintegriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.