Pasukan petugas ditubuh teliti letupan kontena, tren terlajak

Pasukan petugas ditubuh teliti letupan kontena, tren terlajak

Pasukan petugas khas ditubuh bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas, dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Loke Siew Fook
Menteri Loke Siew Fook umum penubuhan dua pasukan petugas bagi menyiasat kejadian letupan kontena dan tren terlajak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pengangkutan (MoT) menubuhkan dua pasukan petugas khas bagi menyiasat kejadian letupan kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor dan kejadian tren komuter terlajak di Stesen Butterworth, Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata penubuhan pasukan itu diputuskan dalam mesyuarat pasca-Jemaah Menteri hari ini, bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas, dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Letupan kontena di atas sebuah kapal ketika kerja pemunggahan dijalankan pada 7 Nov 2025 mengakibatkan tiga kematian dan tiga lagi cedera. Pasukan petugas akan meneliti keseluruhan aspek operasi, pematuhan keselamatan serta mekanisme pengendalian kargo berbahaya.

“Sementara itu, pada 8 Nov, satu set tren komuter kosong telah terlajak hingga hujung landasan di Platform 4, Stesen Butterworth. Pasukan petugas akan menilai punca insiden serta keperluan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian berulang,” menurut kenyataan.

APAD diarahkan membuka kertas siasatan terhadap pemandu tren dan mengambil tindakan susulan selepas siasatan selesai.

Mesyuarat turut meneliti kejadian limpahan air hujan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Loke berkata kejadian dikenal pasti berlaku ketika kerja-kerja kalis air (waterproofing) sedang dijalankan oleh kontraktor Teras Budi Resources Sdn Bhd, bawah kontrak bernilai RM5.27 juta dengan tempoh kontrak dari 15 April 2025 hingga 14 April 2026.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengeluarkan arahan henti kerja bagi membolehkan siasatan dalaman dan tindakan pembetulan dilakukan serta-merta.

“Saya turut mengarahkan MAHB untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor atas kecuaian yang menyebabkan insiden tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.