Loke terima tanggungjawab kekalahan total DAP di Sabah

Loke terima tanggungjawab kekalahan total DAP di Sabah

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata pimpinan mengambil iktibar daripada kekalahan di lapan kerusi ditandingi.

Loke Siew Fook
Loke Siew Fook berkata parti itu menerima dan menghormati keputusan pengundi
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan parti itu memenangi sebarang kerusi pada PRN Sabah, hari ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pemenang, Loke berkata parti itu menerima dan menghormati keputusan pengundi di lapan kawasan ditandingi oleh DAP, mewakili Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, pucuk pimpinan parti mengambil iktibar daripada keputusan itu dan menilai semula segala kelemahan.

“Sebagai setiausaha agung parti, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap segala kelemahan dan kegagalan DAP memenangi sebarang kerusi dalam PRN Sabah ke-17,” katanya dalam kenyataan

DAP tewas di semua enam kerusi dimenanginya lima tahun lalu, kepada Warisan iaitu Likas, Kapayan, Elopura, Luyang, Tanjong Papat dan Sri Tanjong.

Calonnya turut gagal merampas kerusi Tanjung Aru dan Kemabong, yang masing-masing dipertahankan Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua DAP Sabah Phoong Jin Zhe tewas di Likas kepada calon Warisan, Tham Yun Fook, manakala timbalannya, Chan Foong Hin, gagal merampas Tanjung Aru daripada Naib Presiden Warisan Junz Wong.

Ahli Parlimen Sandakan dari DAP, Vivian Wong, juga gagal mengekalkan Elopura untuk parti itu, tewas kepada calon Warisan, Calvin Chong.

Begitu juga kerusi Sri Tanjong gagal dipertahankan DAP, dengan calon Warisan Justin Wong.

Wong dan Chong sebelum ini memenangi kerusi masing-masing pada 2020 sebagai ahli DAP sebelum melompat ke Warisan.

Jannie Lasimbang pula dilaporkan gagal mempertahankan Kapayan kepada Chin Tek Ming dari Warisan. Beliau menang kerusi itu dengan majoriti lebih 10,000 undi pada PRN Sabah 2020.

Satu lagi kubu kuat DAP yang tumbang kepada Warisan ialah Luyang, apabila muka baharu Chan Loong Wei tewas kepada Samuel Wong.

Keputusan parti menampilkan seorang lagi calon baharu di Tanjong Papat turut memakan diri, apabila Tang Szu Ching tewas kepada calon Warisan, Alex Thien.

Di Kemabong, bekas Ahli Parlimen Tenom dari DAP, Noorita Sual, tewas kepada Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Rubin Balang yang menyandang kerusi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.