Ewon persoal komitmen Loke terhadap hak 40% Sabah

Ewon persoal komitmen Loke terhadap hak 40% Sabah

Presiden Upko memberitahu setiausaha agung DAP bahawa beliau konsisten pertahan hak Sabah ke atas 40% hasil negeri itu.

ewon benedick
Presiden Upko Ewon Benedick meletak jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi minggu lalu.
PETALING JAYA:
Presiden Upko Ewon Benedick mempersoalkan komitmen Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook untuk mempertahankan hak 40% hasil Sabah susulan Loke mendakwa dirinya sekadar ‘hanya bermain wayang’ dengan meletakkan jawatan Kabinet.

Ewon memberitahu Loke bahawa beliau mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu itu yang berulang kali dibangkitkan dalam Jemaah Menteri, merujuk kepada perbincangan pada akhir 2022, 2023, dan 2024, serta selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 17 Okt.

“Apakah Yang Berhormat saudara Anthony (Loke) telah memberikan pandangan di Kabinet sepanjang tempoh tiga tahun ini mempertahankan hak 40% Sabah dan menuntut pelaksanaan segera kepada hak Sabah ini.

“Tetapi, saya tahu saudara punya suara sepanjang mesyuarat,” kata presiden Upko itu.

Ewon juga menyentuh cadangan Loke bahawa beliau sepatutnya mencabar peguam negara mengenai isu berkenaan.

Dengan menyatakan peguam negara ada menghadiri beberapa mesyuarat Kabinet, Ewon berkata beliau telah menggunakan salah satu mesyuarat itu mencadangkan agar rang undang-undang dibentangkan di Parlimen mengenai hak 40% hasil Sabah.

“Itu pendirian saya. Tetapi, apa pendirian Yang Berhormat saudara Anthony (Loke) dalam mesyuarat tersebut,” soal Ewon kepada menteri pengangkutan berkenaan.

Ewon meletak jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi minggu lalu, dengan memetik pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kerajaan persekutuan telah bertindak melanggar undang-undang kerana gagal menunaikan hak 40% hasil Sabah diambil persekutuan hampir lima dekad.

Semalam, Loke berkata Ewon cuba menggambarkan dirinya sebagai wira, namun hakikatnya, beliau tidak hadir pada mesyuarat khas Jemaah Menteri, pada 11 Nov.

Katanya, peletakan jawatannya berkuat kuasa selepas Disember walaupun menghantar surat letak jawatan pada 10 Nov, selain menegaskan Ewon secara teknikalnya masih anggota Jemaah Menteri dan tahu mesyuarat itu berlangsung.

“Cabar peguam negara, cabar perdana menteri, kemudian barulah letak jawatan. Ketika itu saya akan kata anda wira. Tetapi buat masa ini, anda hanya bermain wayang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.