Kejayaan laksana 170 inisiatif RMK12 pacu pertumbuhan KDNK

Kejayaan laksana 170 inisiatif RMK12 pacu pertumbuhan KDNK

Ia menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dianggarkan 5.2% setahun bagi tempoh 2021 hingga 2025.

kl skyline
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan yakin Malaysia di landasan tepat merealisasikan aspirasi ekonomi Madani melalui RMK13 dan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Kejayaan pelaksanaan lebih 170 inisiatif pembangunan sosioekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dianggarkan 5.2% setahun bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pencapaian itu juga membuktikan keberkesanan hala tuju dan strategi ekonomi Madani dalam mendepani ketidaktentuan cabaran global serta menstruktur semula ekonomi dan mengekalkan permintaan domestik yang mampan.

Pertumbuhan ekonomi itu katanya, turut mencerminkan kesan pelaksanaan program bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mendorong pengukuhan perbelanjaan isi rumah.

“Ini momentum positif bagi mencerminkan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya saing.

“Tahun 2026 permulaan fasa pelaksanaan RMK13 dan Kementerian Ekonomi komited memastikan setiap inisiatif ini dapat diterjemah kepada hasil nyata dan dirasai rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan yakin negara di landasan tepat merealisasikan aspirasi ekonomi Madani melalui RMK13 dengan tema “Melakar Semula Pembangunan” dan seterusnya mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Jelasnya, anggaran KDNK awalan bagi suku keempat 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan juga menunjukkan ekonomi Malaysia diunjurkan bertumbuh 5.7% pada suku keempat 2025.

“Pencapaian ini memberi petunjuk awal prestasi semasa ekonomi negara. Walaupun berdepan pelbagai cabaran global dan persekitaran luaran tidak menentu, ekonomi Malaysia diunjurkan mencatat pertumbuhan 4.9% bagi 2025 yang melebihi unjuran rasmi 4% hingga 4.8%.”

Kementerian Ekonomi menyifatkan lonjakan aktiviti ekonomi pada tiga bulan terakhir 2025 memaparkan rentak pertumbuhan kian rancak, didorong khasnya oleh pengukuhan permintaan domestik serta peningkatan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.