
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata pemahaman yang baik tentang faedah penyertaan akan mendorong lebih ramai memberikan kerjasama, sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem tersebut.
“Kerajaan juga perlu memperincikan garis masa dan titik capai pelaksanaan kepada rakyat supaya mereka faham mengapa Padu memerlukan tempoh tertentu untuk kutipan data sebelum ia benar-benar berfungsi sebagai platform efektif dalam membantu rakyat,” katanya kepada FMT.
Kerajaan dijangka mengumumkan peluasan penggunaan Padu secara lebih menyeluruh menjelang awal Mac, menurut Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.
Memetik laporan The Edge, Akmal berkata Putrajaya sedang merangka hala tuju baharu bagi Padu supaya fungsinya tidak terhad pada pengagihan bantuan bersasar, sebaliknya menjadi asas penting dalam penggubalan dasar negara.
Ahli ekonomi, Abu Sofian Yaacob, berkata keyakinan orang ramai berkenaan Padu masih bercampur-campur.
Pensyarah kanan i-CATS University College, Kuching ini berkata ramai sudah mengisi Padu kerana patuh arahan dan berharap ada manfaat.
“Tetapi pada masa sama masih wujud keraguan tentang tujuan sebenar, keselamatan data, dan bagaimana maklumat itu akan digunakan. Keyakinan itu belum betul-betul kukuh,” katanya.
Sofian berkata orang ramai merungut kerana proses pengisian dibuat secara tergesa-gesa dengan mesej seolah-olah mendesak, namun selepas tempoh itu berlalu, tiada penjelasan atau hasil yang jelas diumumkan.
“Ini menyebabkan timbul rasa ‘buat sia-sia’ dan menambah persepsi bahawa kerajaan sendiri belum benar-benar bersedia,” katanya.
Ahli ekonomi, Afzanizam Abdul Rashid, berkata peluasan Padu dijangka memberi manfaat besar kepada kerajaan dalam merancang dan melaksanakan program secara berkesan.
“Data yang lebih menyeluruh dan telus akan memudahkan kerajaan merancang serta melaksanakan program yang benar-benar memberi impak kepada rakyat dan sektor perniagaan,” kata ketua ahli ekonomi Bank Muamalat ini.
Padu dilancarkan pada Januari 2024. Pangkalan data berkenaan menggabungkan data telah disahkan daripada pelbagai agensi bagi menyediakan maklumat hampir masa nyata, mengurangkan pertindihan data serta memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Sistem itu pada asalnya dirangka sebagai rujukan utama pelaksanaan subsidi bahan api RON95 secara bersasar.
Namun pada September tahun lalu, kerajaan memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95), yang menetapkan harga petrol bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi rakyat yang layak.