
Armizan Mohd Ali berkata, Bung yang digugurkan daripada Kabinet Hajiji Noor susulan rampasan kuasa yang gagal pada 2023, terbukti tidak mampu menyelesaikan masalah air Sabah.
Beliau berkata, sepanjang dua tahun ketua Umno Sabah itu memegang jawatan, beliau langsung tidak melancarkan sebarang projek utama bagi memastikan bekalan air konsisten di kawasan seperti Tawau.
Malah, pembinaan loji rawatan air Cinta Mata 2 dan kerja menaik taraf di Loji Rawatan Air Kogopon di Papar hanya dimulakan selepas Bung tidak lagi berada dalam kerajaan negeri, katanya.
“Sebenarnya, kerajaan GRS kehilangan dua tahun pertama dalam fasa pentadbiran kerana terpaksa menerima Bung sebagai menteri kerja raya yang paling gagal dalam sejarah peradaban manusia,” kata timbalan setiausaha agung GRS itu kepada pemberita di Tawau, malam tadi.
“Takdir Tuhan menentukan Bung sebagai ‘menteri gagal’ keluar dari kerajaan negeri, membolehkan banyak projek penstabilan bekalan air dan elektrik mula berjalan di Sabah.”
Bung mengulangi dakwaan mengenai prestasi GRS ketika mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) menjelang PRN Sabah 29 Nov.
Pada 2024, beliau melabelkan kerajaan GRS sebagai kerajaan paling gagal dalam sejarah negeri, memetik kegagalan menunaikan janji mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan fakta bahawa Sabah kekal antara negeri termiskin di Malaysia.
Armizan berkata, tidak adil juga bagi Bung menyalahkan GRS atas gangguan bekalan elektrik memandangkan kerajaan persekutuan, melalui Tenaga Nasional Bhd, memegang kepentingan majoriti dalam Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), satu-satunya syarikat utiliti di Sabah dan Labuan.
Beliau berkata, serangan terbaru Bung ke atas GRS mungkin disebabkan kurangnya ‘faktor X’ dalam kalangan calon BN.
Armizan juga menasihati Bung membaca manifesto GRS di mana gabungan itu telah menyenaraikan pencapaiannya.
“Sebagai bekas menteri kerja raya, Bung tidak seharusnya menuding jari kepada sesiapa. Hakikatnya, beliau menteri yang gagal, dan penggantinya berjaya melancarkan projek-projek itu,” katanya, merujuk kepada timbalan ketua menteri sementara, Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, Bung juga dikatakan mendesak supaya dilantik dua ketua bahagian Umno dalam Lembaga Pengarah SESB.
“Jadi soalannya, apa sumbangan dan pencapaian wakil Umno dalam SESB?”