
Dalam penghakiman bertulis yang mengesahkan sekatan dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan, Jawatankuasa Rayuan Fifa berkata ia ‘tidak selesa’ dengan penggantungan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, dengan menyatakan terma dan skop penggantungan itu tidak jelas dinyatakan mahupun diputuskan sewajarnya.
Walaupun FAM merujuk penggantungan itu dalam hujah mereka merayu penggantungan tersebut, Jawatankuasa Rayuan Fifa menekankan laporan laporan dan pihak boleh dipercayai yang menunjukkan Noor Azman terus membuat penampilan awam pada acara berprofil tinggi – termasuk majlis dihadiri pemimpin kanan badan induk bola sepak dunia itu
“(Ini) menjejaskan kredibiliti tindakan dikenakan dan membayangkan ia (penggantungan) hanyalah satu langkah perhubungan awam dan bukannya tindakan tadbir urus yang tulen,” kata jawatankuasa itu.
“Apabila disoal mengenai laporan akhbar yang mendakwa Noor Azman dilihat dan dirakam gambarnya di khalayak bersama pegawai kanan Fifa ketika kehadiran mereka di satu persidangan di Malaysia sehari sebelum perbicaraan, peguam FAM menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai sebarang penampilan awam dikatakan itu.”
Bulan lalu, FAM mempertahankan kehadiran Noor Azman pada satu acara di Kuala Lumpur dihadiri Presiden Fifa Gianni Infantino, dengan menyatakan pegawai digantung tersebut hadir atas kapasiti peribadi.
Noor Azman digantung di tengah-tengah kontroversi dakwaan dokumen palsu diserahkan kepada Fifa berkait isu pemain warisan.
Pada 17 Okt, Timbalan Presiden FAM, S Sivasundaram, berkata persatuan itu menubuhkan sebuah jawatankuasa menyiasat perkara berkenaan, selain mengumumkan Noor Azman digantung tugas bagi membolehkan pihak jawatankuasa menjalankan tugasnya.
Dalam penghakiman bertulis, Jawatankuasa Rayuan Fifa berkata ia ‘membantah sekeras-kerasnya’ cubaan FAM meremehkan keseriusan kelakuannya, termasuk pengubahan dokumen rasmi secara sengaja sebagai hanya ‘penyesuaian pentadbiran’ semata.
Jawatankuasa itu berkata, pengakuan Noor Azman pada perbicaraan bahawa ahli pentadbiran FAM ‘terlibat mengendalikan dan menyusun semula salinan sijil kelahiran tertentu…termasuk kandungan yang diubah’ merupakan pengakuan langsung berkait pengubahan dokumen.
Jawatankuasa itu juga berkata, kenyataan Noor Azman bahawa ‘langkah-langkah tersebut bukan pengganti kepada perolehan salinan sah atau ekstrak rasmi, dan juga tidak dibenarkan sebagai proses pengesahan rasmi’ mengesahkan FAM sengaja menyerahkan dokumen palsu kepada Fifa dalam konteks prosiding kelayakan.
Peraturan Fifa membenarkan pemain mewakili sesebuah negara jika ibu bapa atau datuk nenek mereka dilahirkan di sana.
Fifa berkata, bertentangan dokumen diserahkan FAM yang mendakwa datuk nenek tujuh pemain warisan itu dilahirkan di Malaysia, siasatan berasingan mendapati rekod asal menunjukkan datuk nenek pemain berkenaan sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil, dan Belanda.
Jawatankuasa itu berkata, pada perbicaraan rayuan FAM ada memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan diketuai bekas ketua hakim negara, Raus Sharif, untuk mengenal pasti kelemahan dalam prosesnya.
FAM juga berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend, menyatakan bahawa beliau telah mengesyorkan untuk mendapatkan khidmat Deloitte Sports bagi menjalankan semakan berkenaan memandangkan ia mampu ‘meningkatkan tahap kredibiliti’.
“Namun, Lembaga Pengarah FAM memilih pendekatan yang berbeza,” kata jawatankuasa itu.