2 warga China mohon pengurangan tuduhan intip, tinjau Mindef

2 warga China mohon pengurangan tuduhan intip, tinjau Mindef

Li Luorong dan Chen Junhao berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 3(a) dan 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972.

kl high court
Li Luoring dan Chen Junhao dituduh guna dron mengambil gambar kawasan larangan di Mindef, Jalan Padang Tembak, pada 6 Ogos.
KUALA LUMPUR:
Dua warga China yang dituduh menggunakan dron mengambil gambar di kawasan larangan Kementerian Pertahanan (Mindef) memohon pengurangan tuduhan daripada mengintip dan melakukan tinjauan tanpa kebenaran.

Li Luorong dan Chen Junhao berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 3(a) dan 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Peguam Ooi Hong Ming, mewakili kedua tertuduh, memberitahu pemberita bahawa pihak pembelaan memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memohon pengurangan pertuduhan terhadap anak guam mereka.

Di bawah pertuduhan Seksyen 3(a), keduanya dituduh cuba mendapatkan maklumat rasmi bagi tujuan memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara dengan mengambil gambar kawasan larangan menggunakan dron DJI Mavic 3 Enterprise.

Jika didapati bersalah, Li dan Chen akan berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Sementara itu, mengikut pertuduhan Seksyen 4(1), dua lelaki itu dituduh mengambil gambar udara menggunakan dron sama untuk tujuan memantau atau meninjau tanpa kebenaran.

Jika didapati bersalah, masing-masing akan menghadapi hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun.

Kesalahan yang didakwa itu dikatakan berlaku di Mindef, Jalan Padang Tembak pada 6 Ogos.

Hakim Mahkamah Sesyen Suhaila Haron menetapkan 7 Jan untuk pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah mengenai keputusan representasi anak guam masing-masing.

Perbicaraan mereka ditetapkan April tahun hadapan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Zanyuin hadir bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.