
Pada sidang media hari ini, Khaled berkata, butiran perjawatan ATM tidak pernah didedahkan kepada mana-mana pihak.
“Kita telah membuat laporan polis berhubung perkara itu. ATM tidak pernah sesekali mendedahkan apa-apa butiran kepada mana-mana pihak,” katanya tanpa menamakan pihak disyaki menyebarkan maklumat tersebut.
Semalam, Kementerian Pertahanan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat menyebarkan maklumat sulit kerajaan.
Menurutnya, tindakan boleh diambil di Akta Rahsia Rasmi, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Angkatan Tentera atau Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib).
Tambahnya, tindakan menularkan maklumat sulit kerajaan, termasuk senarai nama pegawai kanan ATM, adalah satu bentuk salah laku yang jelas mencabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara, selain mengundang ancaman kepada kedaulatan negara.
Khaled hari ini berkata, sebarang keputusan mengenai pelantikan pegawai tinggi ATM akan dibincangkan terlebih dahulu oleh Majlis Angkatan Tentera sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, katanya, tidak wajar maklumat sedemikian disebarkan sebelum memperoleh perkenan Agong.