Maklumat perjawatan ATM tersebar, Mindef tak teragak-agak ambil tindakan

Maklumat perjawatan ATM tersebar, Mindef tak teragak-agak ambil tindakan

Tindakan termasuk tular senarai nama pegawai kanan ATM jelas cabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara, kata kementerian.

mindef
Menurut Mindef, sebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh undang ancaman kepada keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat menyebarkan maklumat sulit kerajaan, susulan penularan maklumat mengenai perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kementerian berkata, tindakan boleh diambil di Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Angkatan Tentera 1972 atau Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Kementerian turut memberi peringatan bahawa sebaran maklumat sulit atau dalaman secara terbuka boleh mengundang ancaman kepada keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.

Tambahnya, tindakan termasuk menularkan senarai nama pegawai kanan ATM adalah satu bentuk salah laku yang jelas mencabar kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara.

“Tindakan mendahului proses rasmi itu bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, tetapi juga boleh menjejaskan moral pegawai serta mengganggu gugat rantaian pemerintahan dalam ATM.

“Perlu dijelaskan bahawa sebarang ketetapan perjawatan dan kenaikan pangkat pegawai ATM adalah tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaku Pemerintah Tertinggi ATM atas nasihat Majlis Angkatan Tentera (MAT).

“Justeru, sebarang hebahan pramatang dianggap sebagai satu bentuk ketidakhormatan kepada institusi diraja dan hierarki kepimpinan ATM,” kata kementerian dalam kenyataan.

Sehubungan itu, kementerian menasihatkan pihak terlibat agar menghentikan serta-merta sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan, mencemarkan imej ATM serta mengelirukan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.