Dakwaan 2,000 ahli PGRS Sukau keluar parti hanya ‘fantasi politik’

Dakwaan 2,000 ahli PGRS Sukau keluar parti hanya ‘fantasi politik’

Bahagian itu berkata kononnya ahli keluar parti dalam jumlah didakwa satu provokasi politik murahan.

Emerson Dawang
Setiausaha PGRS Bahagian Sukau Emerson Dawang berkata jumlah sebenar yang keluar tidak lebih 10 ahli. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sukau menegaskan dakwaan kononnya lebih 2,000 ahli bahagian itu keluar parti adalah tidak benar, tidak berasas, berunsur fitnah, dan hanya ‘fantasi politik’.

Setiausaha PGRS Bahagian Sukau Emerson Dawang, berkata hasil penelitian dan pengesahan dalaman mendapati jumlah sebenar yang keluar tidak lebih 10 ahli.

Beliau berkata, sebahagian individu dikaitkan dalam dakwaan keluar parti merupakan ahli baharu yang sebelum ini menyertai Warisan sebelum mereka mengikut langkah bekas Ketua Wanita PGRS Bahagian Sukau Dayang Norhayati Titing menyertai Barisan Nasional (BN).

“Dayang Norhayati telah lama tidak aktif dalam aktiviti parti di peringkat bahagian dan cawangan yang dipimpinnya juga didapati berstatus tidak aktif,” menurutnya dalam kenyataan.

Emerson berkata, kenyataan Dayang Norhayati bahawa 2,000 ahli keluar parti adalah satu provokasi politik murahan yang cuba menggambarkan seolah-olah PGRS Sukau sedang berdepan krisis, sedangkan hakikatnya perkara itu jauh daripada kebenaran.

Beliau berkata justeru itu, PGRS Bahagian Sukau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan memandang serius percubaan mana-mana pihak untuk mencemarkan imej parti dengan menyebarkan maklumat palsu kepada masyarakat.

Emerson berkata, PGRS Sukau kekal kukuh, tersusun, dan terus berkembang dengan kemasukan ahli baharu yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Jentera PGRS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau berada dalam keadaan bersiap siaga dan terus memperkukuhkan gerak kerja menjelang PRN akan datang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan undi awal pada 25 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.