
Beliau berkata, keputusan PRU15 dan PRN Sabah ialah mesej serta isyarat rakyat yang tidak boleh diambil mudah.
“Isyarat ini tidak boleh diambil mudah. Sokongan tidak akan datang dengan sendirinya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita Umno 2025.
Tegasnya, Umno juga perlu bangkit daripada prestasi buruk PRU15 dan PRN Sabah.
“Kini, kita berada di persimpangan sejarah yang kritikal. PRU16 bukan sekadar pertandingan politik biasa, ia adalah penentu masa depan negara kita, masa depan anak-anak kita dan masa depan generasi akan datang.”
Menurutnya, gelombang penolakan terhadap Umno mesti dihentikan.
Noraini berkata, Umno tidak pernah mati kerana kalah dalam pilihan raya atau wakil rakyat berpaling tadah, tetapi parti akan lumpuh jika ahli serta pemimpinnya berbalah sesama sendiri.
“Jadikanlah 30 kerusi (Parlimen dimenangi BN) ini sebagai pemangkin dan asas kebangkitan. Kita bukan sahaja perlu pertahankan, malah kita perlu gandakan. Kita nilai semula gerak kerja kita. Kita hanya ada masa kurang daripada dua tahun. Kita tidak boleh lagi bekerja seperi biasa.
“PRU16 bukan sekadar pertandingan politik. Ia adalah penentuan masa depan negara, kelangsungan parti keramat Umno dan suara rakyat yang meletakkan harapan.
“Kita perlu kembali memimpin dengan lebih baik, lebih matang dan lebih bertanggungjawab. Sebab itu dalam Wanita Umno ini, kita tidak boleh bergerak dengan suara bercanggah. Tidak boleh ada bisik yang memecah. Tidak boleh ada gerak yang melemahkan. Tidak boleh ada watak yang merosakkan.”