
Pagi tadi, SPR mengumumkan selepas penamaan calon ditutup bahawa terdapat seorang calon Pejuang, Lasius Miki, yang bertanding di kerusi Kapayan.
Pejuang kemudian mengeluarkan kenyataan menafikan bertanding pada PRN itu dan menggesa SPR agar membetulkan kesilapannya.
Dalam kenyataan ralat malam ini, SPR memaklumkan Parti Perjuangan Rakyat meletakkan enam calon bertanding pada PRN17, bukan lima.
Lasius kini disenaraikan sebagai calon Parti Perjuangan Rakyat di Kapayan, yang akan menyaksikan pertembungan 13 penjuru.
Selain Lasius, calon lain bertanding di kerusi itu terdiri daripada penyandang Jannie Lasimbang (DAP); Chin Tek Ming (Warisan); Bernard Logijin (Parti Solidariti Tanah Airku); Billy Joe Dominic (Upko); Dr Edwin Bosi (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat); Chin Ling Ling (Parti Impian Sabah); Wong Kong Fooh (Parti Kerjasama Anak Negeri); Kuo Lee On (Parti Bumi Kenyalang; Sylvester Moloukun (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak); serta calon-calon bebas iaitu Cyril Gerald Liew, Sabariah Aziz dan Land Lip Fong.