DAP tanding Kemabong selepas BN umum calon, kata Loke

DAP tanding Kemabong selepas BN umum calon, kata Loke

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata persetujuan awal ialah DAP tanding Kemabong dan beri laluan di Liawan kepada BN.

Loke siew fook dgn Chan Foong Hin
Loke Siew Fook mengiringi calon PH di Tanjung Aru Chan Foong Hin pada penamaan di Dewan Sri Putatan. (Gambar Facebook)
PUTATAN:
DAP bertanding di DUN Kemabong selepas Barisan Nasional (BN) turut meletakkan calon walaupun ada persetujuan awal untuk memberi laluan kepada parti itu, kata Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook.

Bercakap kepada FMT, Loke berkata pada peringkat awal kedua-dua parti telah mencapai kata sepakat iaitu DAP bertanding di Kemabong manakala BN diberikan laluan di Liawan.

Menurutnya, disebabkan itu ketika mengumumkan calon DAP, beliau menyatakan parti itu akan mewakili Pakatan Harapan (PH) di lapan kerusi termasuk Kemabong.

“Namun BN menyatakan mereka masih nak bertanding di Kemabong dan atas permintaan itu, saya tak umumkan calon kerusi itu untuk berunding lagi.

“Tapi akhirnya BN tetap kata mereka akan meletakkan calon di Kemabong. Jadi kita tak ada pilihan. Persetujuan awal itu kekal — DAP tetap bertanding di Kemabong dan kita tidak letakkan calon di Liawan,” katanya ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Putatan.

DAP mencalonkan Senator Norita Sual mewakili PH di DUN Kemabong yang menyaksikannya bertembung dua rakan kerjasama politik iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.

GRS meletakkan penyandangnya Rubin Balang manakala BN mengumumkan Rahmah Jan Sulaiman dari Umno sebagai calonnya.

Untuk rekod, pada PRN kali ini, GRS menjalin kerjasama dengan PH, yang turut berpakat dengan Barisan Nasional. Bagaimanapun, tiada kerjasama antara BN dan GRS.”

Menurut Loke, keputusan itu juga dipengaruhi permintaan akar umbi DAP sendiri yang mahu parti mempertahankan kerusi berpotensi itu.

“Beliau memang pemimpin masyarakat dikenali dan mendapat sokongan kuat ahli dan penduduk tempatan.

“Jadi kita tak boleh beri laluan di kerusi tersebut,” katanya.

Loke turut menegaskan jentera DAP di Kemabong sudah bersedia dan isu pertembungan sesama gabungan tidak akan menjejaskan hubungan antara parti.

“Di Sabah budaya politik berbeza dan pertandingan banyak penjuru perkara biasa.

“Walaupun kita dalam gabungan, kalau bertembung, kita akan berkempen secara positif.

“Kita tawarkan calon terbaik dan biarkan pengundi yang buat keputusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.