8 minggu cukup siapkan alasan penghakiman, kata Hasnah

8 minggu cukup siapkan alasan penghakiman, kata Hasnah

Hakim Besar Malaya yang bakal bersara itu berkata hakim perlu ubah gaya hidup jika tempoh dua bulan itu dirasakan tidak mencukupi.

Hasnah Hashim berharap dapat meneruskan sesuatu yang ‘berbeza’ selepas bersara sebagai Hakim Besar Malaya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Tempoh lapan minggu untuk hakim menyediakan alasan bertulis bagi setiap keputusan mereka perlu dikekalkan walaupun ada rungutan mengenai jumlah kes terlalu banyak, kata Ketua Hakim Malaya Hasnah Hashim yang akan bersara.

“Pada saya, lapan minggu masih boleh dilaksanakan,” katanya apabila ditanya sama ada arahan amalan sedia ada perlu dikaji semula untuk memberi lebih masa kepada hakim menyiapkan alasan penghakiman.

Di kalangan peguam dan hakim, isu kelewatan menyediakan alasan penghakiman ini sudah lama dibangkitkan kerana ada hakim perbicaraan sukar menyiapkan dokumen itu dalam tempoh ditetapkan.

Ini menyebabkan proses rayuan tertangguh kerana tempoh dikira bermula daripada tarikh notis rayuan difailkan.

Hasnah berkata pada 2009, jumlah rayuan tertunggak sangat tinggi, namun hakim berjaya menepati tempoh masa melalui pengurusan kes lebih baik.

“Jadi, ini bergantung kepada bagaimana kita melatih hakim, dan peguam juga perlu bekerjasama,” katanya kepada media pada hari terakhir beliau sebagai Hakim Besar Malaya.

Hasnah, yang memegang jawatan itu sejak setahun lalu, menasihatkan hakim yang merasakan tempoh lapan minggu tidak mencukupi supaya mengubah gaya hidup mereka.

Beliau berkata satu arahan amalan baharu telah dikeluarkan mengenai penyediaan alasan penghakiman.

“Untuk prosiding ringkas atau permohonan interlokutori, ikut saja format yang ditetapkan. Kami juga galakkan hakim Mahkamah Tinggi menulis alasan penghakiman yang lebih ringkas,” katanya.

Sebagai wanita ketiga yang mengetuai Mahkamah Tinggi Malaya, Hasnah – yang mempunyai tiga anak perempuan – berkata beliau berasa sedih meninggalkan dunia kehakiman tetapi pada masa sama gembira dan lega untuk memulakan fasa baharu dalam hidupnya.

“Bahagian pertama hidup saya adalah bekerja. Bahagian kedua nanti, insya-Allah, sesuatu yang berbeza,” katanya, sambil berharap beliau diberi peluang untuk melatih hakim selepas bersara.

Hasnah berkata beliau tidak pernah bercita-cita untuk memegang jawatan itu, tetapi setelah diberi tanggungjawab itu, beliau melakukan yang terbaik walaupun tempohnya singkat.

“Saya harap ia dapat diteruskan, tetapi itu tidak mungkin,” katanya sambil menyatakan harapan penggantinya dapat meneruskan usaha beliau.

Hasnah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 1 Ogos 1983, berkhidmat sebagai penasihat undang-undang di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Telekomunikasi dan Pos, serta Kementerian Kerja Raya.

Pada 2009, beliau dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Insolvensi dan kemudian menjadi pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman setahun kemudian dan menjadi hakim Mahkamah Tinggi dua tahun kemudian.

Pada 2016, beliau dinaikkan ke Mahkamah Rayuan, dan pada 2019 ke Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.