Kerajaan teliti undang-undang tangani aktiviti songsang, kata Saifuddin

Kerajaan teliti undang-undang tangani aktiviti songsang, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata sudah sampai masa untuk melihat semula peruntukan bagi tangani kes seperti itu.

ops songsang
Seramai 208 individu termasuk 17 penjawat awam ditahan dalam serbuan di sebuah premis kesihatan yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti tidak bermoral di Chow Kit, Jumaat lepas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan meneliti beberapa peruntukan undang-undang sedia ada susulan penahanan 208 individu dalam serbuan ke atas sebuah premis kesihatan yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti tidak bermoral di Chow Kit, Jumaat lepas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata penelitian itu melibatkan peruntukan undang-undang yang berkait rapat dengan penguatkuasaan terhadap aktiviti terbabit, susulan risikan dan operasi bersepadu yang dijalankan polis bersama agensi lain sebelum ini.

“Maklum balas daripada Bahagian Keselamatan Dalam Negeri serta pihak polis menunjukkan sudah sampai masanya untuk kita melihat semula beberapa peruntukan yang terkait bagi menangani kes-kes seperti ini.

“Bentuk spesifiknya akan diperhalusi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan kes serbuan KL Strike Force PDRM bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sebuah premis dua tingkat yang didakwa dijadikan pusat aktiviti songsang.

Serbuan itu menyaksikan 17 penjawat awam antara 208 individu berusia 19 hingga 60 tahun ditahan, termasuk 24 warga asing, selain polis merampas kondom dan beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral.

Mengulas mengenai dakwaan pencabulan privasi oleh pihak yang mempertikaikan serbuan tersebut, Saifuddin menegaskan bahawa aspek privasi tidak terpakai dalam konteks operasi penguatkuasaan di premis yang menempatkan ratusan pengunjung.

“Privasi itu kalau dia bersendirian di rumah. Ini premis dengan 202 individu. Privasi apa lagi? Polis perlu menyeimbangkan tanggungjawab penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral dengan hak sivil individu,” katanya.

Beliau berkata mana-mana pihak, termasuk NGO perlu melihat isu berkenaan dalam konteks lebih luas, mengambil kira perbuatan yang bercanggah dengan nilai agama dan moral.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.