
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan syarikat itu untuk mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu yang memerintahkan kerajaan hanya membayar pampasan bagi hartanah berkenaan.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim, berkata 26 persoalan undang-undang yang dikemukakan Semantan Estate tidak memenuhi ambang batas ditetapkan bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Kami juga berpendapat permohonan itu berlandaskan fakta dan tidak menimbulkan sebarang persoalan kepentingan Perlembagaan,” katanya dalam keputusan sebulat suara.
Berdasarkan Seksyen 96, kebenaran hanya diberikan apabila sesuatu kes menimbulkan persoalan Perlembagaan atau undang-undang baharu yang penting untuk umum buat julung kali.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Hanipah Farikullah dan Hakim Mahkamah Rayuan yang dilantik bersama, Ruzima Ghaz turut menganggotai panel yang mendengar permohonan itu.
Hanipah dalam alasan tambahannya berkata, Mahkamah Rayuan membuat keputusan tepat, Semantan tiada kepentingan boleh didaftarkan atas tanah itu.
“Mahkamah Tinggi pada 2009 tidak mengarahkan pendaftar tanah Kuala Lumpur melakukan pemindahan tanah. Jadi, syarikat itu hanya mempunyai kepentingan saksama di bawah Kanun Tanah Negara.”
Hasnah menetapkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi pada 17 Nov ini, di mana pihak-pihak akan berhujah mengenai jumlah pampasan perlu dibayar kerajaan kepada Semantan Estate di depan Hakim Roslan Mat Nor.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, Nurhafizza Azizan, Azza Azmi, Shazreen Nadia Zulkifli, Safiyah Omar dan Nuur Zul Izzati Zulkipli mewakili kerajaan.
Peguam Cyrus Das, Ira Biswas, Alexis Ng dan Karu Ashwin pula mewakili Semantan Estate.
Sebelum ini, di Mahkamah Rayuan, Hakim Lee Swee Seng yang kini hakim Mahkamah Persekutuan, memutuskan pampasan kewangan sebagai remedi lebih sesuai berbanding memaksa pemindahan hak milik dan pengembalian pemilikan kepada Semantan Estate.
Panel Mahkamah Rayuan itu turut dianggotai Hakim Azimah Omar dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang kini ketua hakim negara.
Panel itu seterusnya memutuskan pampasan hendaklah berdasarkan nilai tanah pada 1956, ketika diambil alih kerajaan, dengan menolak RM1.325 juta yang dibayar sebelum ini.
Mahkamah Rayuan turut memutuskan syarikat itu berhak mendapat keuntungan mesne, yang akan dinilai Mahkamah Tinggi.
Mahkamah sebelum ini diberitahu, hartanah berkenaan bernilai RM12 bilion.
Duta Enclave kini menempatkan beberapa kompleks kerajaan, kemudahan sukan dan beberapa mercu tanda lain.
Semantan Estate memulakan prosiding undang-undang pada 2003 dengan memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan tanah itu diperoleh secara tidak sah.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Zura Yahya membuat keputusan memihak kepada Semantan Estate dengan menganggap pengambilan tanah itu tidak sah dan syarikat terbabit mengekalkan pemilikan benefisial ke atas tanah berkenaan.
Rayuan kerajaan seterusnya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak.
Pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan dua saman serentak terhadap pendaftar tanah Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi.
Permohonan semakan kehakimannya yang memohon perintah mandamus untuk memaksa kerajaan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi 2009 ditolak Hakim Ahmad Kamal Shahid.
Tetapi, dalam keputusan berasingan tahun lalu, Hakim Ahmad Shahrir membenarkan saman syarikat itu terhadap pendaftar tanah Kuala Lumpur dan mengarahkan kerajaan memindahkan tanah berkenaan kepada Semantan Estate mengikut Seksyen 417 Kanun Tanah Negara.
Perintah itu kemudiannya dibatalkan Mahkamah Rayuan.