Bersatu dengar rayuan Wan Saiful, Wan Fayhsal

Bersatu dengar rayuan Wan Saiful, Wan Fayhsal

Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu Azhar Azizan Harun berkata prosiding mendengar rayuan mereka semalam berjalan lancar.

Wan Saiful Wan Jan and Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengemukakan rayuan selepas dipecat dan digantung Bersatu pada 14 Okt lalu.
PETALING JAYA:
Lembaga Rayuan Bersatu mendengar rayuan dikemukakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dipecat dan digantung keahlian pada 14 Okt lalu atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan ahli.

Menurut Pengerusi Lembaga Rayuan, Azhar Azizan Harun atau lebih dikenali Art Harun, prosiding mendengar rayuan mereka semalam berjalan lancar.

“Prosiding berjalan lancar dan kedua-dua mereka telah memberikan alasan-alasan rayuan mereka sepenuhnya.

“Pihak lembaga rayuan akan menimbangkan rayuan mereka dan sekiranya tidak ada keperluan untuk mendengar atau memanggil mereka lagi keputusan akan dibuat,” katanya kepada FMT.

Bekas speaker Dewan Rakyat itu juga berkata, Lembaga Rayuan Bersatu akan mengambil tempoh diperlukan untuk membuat keputusan.

Katanya, ia memandangkan terdapat enam lagi rayuan yang turut perlu didengar.

Pada 14 Okt lalu, Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat empat ketua bahagian iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Tindakan itu dipercayai berkait dakwaan penglibatan beberapa individu dalam ‘gerakan akuan berkanun (SD)’ yang bertujuan menjatuhkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin serta peranan mereka dalam kekecohan yang berlaku semasa satu acara rasmi Bersatu Oktober lalu.

Pada 6 Jan lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah, turut dipecat daripada parti dan digugurkan daripada jawatannya sebagai ketua Perikatan Nasional (PN) Pahang.

Bekas menteri itu sebelum ini dipanggil oleh Lembaga Disiplin Bersatu susulan gesaannya supaya Muhyiddin yang merupakan presiden Bersatu dan pengerusi PN ketika itu, meletakkan jawatan.

Saifuddin mendakwa, Muhyiddin telah ‘kehilangan kualiti kepimpinan’ dan menggesa peletakan jawatan tokoh kanan parti termasuk Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau juga menggesa Muhyiddin menjelaskan sama ada menantunya, ahli perniagaan dalam buruan Adlan Berhan, benar-benar melarikan diri ke luar negara, susulan gambarnya yang didakwa hidup mewah di luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.