
Ketua PBRS Tulid, Matusin Bowie, berkata parti itu wajar diberi peluang untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), sambil menambah bahawa beliau menyampaikan rayuan itu kepada Presiden parti, Arthur Joseph Kurup.
“PBRS Tulid kini mempunyai lebih 8,000 ahli berdaftar, disokong oleh jentera parti yang teratur, aktif dan bersedia di setiap daerah mengundi.
“PBRS telah berkhidmat kepada penduduk Tulid sejak sebelum kawasan pilihan raya ini diwujudkan, ketika ia masih sebahagian daripada kawasan Sook, dan kekal konsisten memperjuangkan rakyat hingga ke hari ini,” katanya menurut Daily Express.
Matusin juga mencadangkan agar PKR menurunkan calonnya, Rufinah Pengeran, di Moyog, kerana kawasan itu lebih sesuai dengan latar belakang politik Rufinah.
“Realitinya, Rufinah tidak dikenali oleh komuniti tempatan di Tulid. Penduduk Tulid mahukan pemimpin tempatan sejati yang memahami budaya, keperluan dan denyut nadi mereka — bukan orang luar yang hanya muncul ketika musim pilihan raya,” katanya.
Beliau menambah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sering ditolak pengundi di Tulid kerana kurang sokongan akar umbi di kawasan tersebut.
Kerusi Tulid, yang terletak di bawah Parlimen Pensiangan yang diwakili Arthur, pertama kali dipertandingkan pada PRN 2020.
Flovia Ng, ketika itu dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), memenangi kerusi itu dengan majoriti 544 undi, menewaskan Matusin.
PH setakat ini belum menamakan calon bagi kerusi Moyog kerana ia pada asalnya diperuntukkan kepada Upko sebelum parti itu keluar daripada gabungan tersebut. Namun, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telahpun menamakan calon mereka di Moyog.
PH mempunyai perjanjian pilihan raya berasingan dengan GRS dan BN bagi PRN kali ini.