
Pengarah SPRM Kedah, Nazli Rasyid Sulong, berkata inisiatif itu bagi memastikan integriti tinggi dan pegawainya mempunyai kesiapsiagaan fizikal serta mental lebih kukuh.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan warga kerja bebas daripada pengaruh dadah dan ketum serta memperkukuh kesiapsiagaan fizikal dan mental,” katanya menurut Berita Harian sempena penganjuran Program Jerayawara Jelajah Integriti SPRM Kedah 2025 di Pejabat SPRM Anak Bukit.
Mengenai program itu, beliau berkata, ia langkah pencegahan dan kawalan ke atas pegawai SPRM, khasnya di Kedah.
“SPRM tidak perlu tunggu berlaku kejadian pelanggaran peraturan untuk bertindak. Langkah pencegahan dan peringatan sebegini lebih penting dalam memastikan tahap disiplin, kesihatan mental dan produktiviti pegawai sentiasa berada pada tahap terbaik.”
Program kerjasama Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) menampilkan tiga modul latihan komprehensif, iaitu penerapan integriti dan agama oleh Ahmad Zaky Md Ali yang menekankan nilai murni dan konsep integriti dari perspektif agama.
Modul kedua ialah penekanan mental dan psikologi oleh pegawai psikologi BCP, Azlan Seruji yang memfokuskan pengurusan emosi, tekanan kerja dan kepentingan kesihatan mental.
Modul ketiga mengenai risiko tatatertib oleh pegawai BCP Norhushaffiz Hussin yang memperincikan peraturan tatatertib serta implikasi serius pelanggaran etika kerja.