Sarjan polis didakwa terima rasuah RM2,500

Sarjan polis didakwa terima rasuah RM2,500

Mohd Nazuli Mohd Nazari dituduh memperoleh suapan itu daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit yang disyaki mencuri telefon bimbit.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan semula kes. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM2,500 di Baling pada Disember 2019.

Mohd Nazuli Mohd Nazari, 35, dituduh memperoleh suapan wang tunai itu daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit yang disyaki mencuri dua telefon bimbit di sebuah kedai telefon di Baling.

Mohd Nazuli yang ketika itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling didakwa berbuat demikian di dalam kereta Perodua Axia di tempat letak kereta di Unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah Baling pada 4.27 petang, 3 Dis 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Hakim Harmi Thamri Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Alif Zulkefli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.