
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan agensi itu mengeluarkan surat tawaran tender pembekalan makanan bernilai RM150,000 kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Kedah.
Surat tawaran itu kononnya dikeluarkan oleh SPRM Kedah bertarikh 23 Julai 2024.
“Suruhanjaya menafikan mengeluarkan surat pemberitahuan penerimaan tender katering tersebut kepada sebuah syarikat yang berdaftar di Kedah.
“Usaha sedang dijalankan untuk mengesan pihak yang mengeluarkan surat palsu tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab, tambahnya.
Suruhanjaya itu turut menasihati orang ramai agar menghubungi pejabatnya bagi mengesahkan surat tawaran yang kononnya dikeluarkan oleh SPRM.