
Dalam sepucuk surat kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Susanna Liew berkata pelantikan Ayob akan mencerminkan komitmen kerajaan terhadap satu siasatan yang adil, telus dan bebas.
“Beliau dikenali sebagai seorang yang berintegriti dan jujur.
“Kami yakin beliau tidak akan gentar atau takut untuk melakukan perkara yang adil dan benar, walaupun pegawai polis berpangkat tinggi terlibat,” katanya.
Permintaan Liew itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Nov yang mengarahkan polis membuka semula siasatan terhadap penculikan Koh dan aktivis Perlis Amri Che Mat, serta menentukan keberadaan Koh.
Mahkamah turut mengarahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM37 juta kepada keluarga Koh berkait penglibatan pihak berkuasa dalam penculikannya, serta membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri kerana gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya terhadap kehilangan aktivis itu.
Liew juga mengucapkan terima kasih kepada Saifuddin kerana menegaskan polis akan mematuhi arahan mahkamah, dan berkata kenyataan menteri itu beri harapan yang dinanti keluarganya selepas bertahun-tahun menanggung derita serta persoalan yang tidak terjawab.
Beliau juga menggesa Saifuddin yang baru-baru ini bertemu peguam dari Jabatan Peguam Negara untuk turut bertemu pasukan guamannya bagi mendengar pendapat daripada kedua-dua pihak.
Koh diculik di Petaling Jaya pada Feb 2017 oleh sekumpulan lelaki yang menaiki beberapa kenderaan. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kemudian memutuskan bahawa penculikan itu dilakukan oleh anggota polis.
Amri, seorang aktivis sosial dari Perlis pula dilaporkan hilang pada Nov 2016.